TANJUNG MANIS, 11 April: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tanjung Manis menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas C yang sedang menangkap ikan di kedudukan lebih kurang 4 batu nautika barat Tanjung Manis, hari ini.
Pengarah Zon Maritim Tanjung Manis, Komander Maritim Mahkos Juing berkata, tangkapan pada pukul 10.30 pagi itu dilakukan hasil rondaan berterusan di sekitar kawasan hot spot yang telah dikenal pasti sejak awal musim perayaan.
“Hasil pemeriksaan awal ke atas bot berkenaan mendapati ia dikendalikan oleh seorang tekong dan tiga orang awak-awak warganegara Indonesia.
“Bot tersebut disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 iaitu melanggar syarat sah lesen dengan menangkap ikan kurang 12 batu nautika dari pantai terdekat,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, bot serta awak-awak ditahan dan diiring masuk ke jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Tanjung Manis untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi siasatan lanjut.
Sebarang maklumat, aduan atau insiden kecemasan di laut orang ramai boleh salurkan ke Pusat Operasi Maritim, Zon Maritim Tanjung Manis di talian 011-35727765 atau di talian kecemasan 999 untuk maklum balas segera. -TVS