KUCHING, 11 Apr: Ahli-ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) memainkan peranan yang sangat penting kerana mereka merupakan barisan hadapan yang paling dekat dengan rakyat, kata Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian.
Menurutnya, walaupun PBT dianggap sebagai kerajaan peringkat ketiga, namun tugas mereka amat mencabar kerana terlibat secara langsung dalam menangani pelbagai isu masyarakat seperti aduan jalan raya, lampu jalan rosak serta rumah terbiar.
“Kadang-kadang orang lupa, lampu jalan rosak sebenarnya di bawah tanggungjawab Sarawak Energy Berhad (SEB), tetapi rakyat tetap akan mencari ahli majlis.
“Begitu juga masalah jalan raya, walaupun ada jalan di bawah bidang kuasa majlis, ada jalan Jabatan Kerja Raya (JKR), namun tetap juga ahli majlis yang dicari oleh rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Angkat Sumpah Ahli-Ahli Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) 2025 di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Dr Sim menambah, kedudukan ahli majlis tidak sekadar menangani aduan rakyat, tetapi juga melibatkan penggubalan polisi penting yang memberi kesan besar kepada komuniti.
“Ahli majlis mempunyai kuasa besar. Contohnya, jika ada rumah terbiar, polis tidak boleh bertindak kecuali ada jenayah berlaku. Tetapi ahli majlis ada kuasa masuk dan mengambil tindakan kerana mereka boleh menggubal polisi tempatan yang efektif,” ujarnya.
Turut hadir, Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng, ahli-ahli majlis, pegawai kanan kerajaan serta wakil komuniti setempat.
Seramai lapan ahli majlis baharu turut mengangkat sumpah bagi membentuk sepasukan ahli majlis MBKS seramai 32 orang, dengan 24 lagi dilantik semula.
Ahli-ahli majlis baharu ialah Ariff Ikhwani Mut-Ee, John Wong Chiew Shin, Mohamad Akram Mohamed, Mohd. Syafiq Mohammad Razali, Russell Geramong Wilson, Shaukat Khan Ishtiaq Hussain Khan, Stefanie Evelyn Inte Bubong dan Wendy Earnest Sadan. – TVS