KUCHING, 11 Apr: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian mengingatkan Ahli-Ahli Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) agar lebih bersedia dan komited dalam menghadapi perubahan besar menjelang tahun 2030, iaitu sasaran Sarawak menjadi sebuah negeri maju, pintar dan mampan.
Menurutnya, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg amat menitikberatkan aspek pembangunan negeri, justeru Ahli Majlis perlu bersiap sedia dari segi minda serta tindakan supaya seiring dengan visi kerajaan negeri.
“Kita mesti bersedia dengan perubahan ini, baik dari segi pemikiran mahupun pelaksanaan tugas, kerana kita mahu mencapai visi Premier untuk menjadikan Sarawak sebuah negeri maju menjelang 2030,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Angkat Sumpah Ahli-Ahli Majlis MBKS 2025 di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Dr. Sim turut memuji MBKS sebagai antara pihak berkuasa tempatan tertua di Sarawak yang ditubuhkan sejak tahun 1953, serta memainkan peranan penting dalam mewujudkan hubungan antarabangsa menerusi bandar raya persahabatan.
Tambah beliau, MBKS juga berjaya meningkatkan imej Kuching melalui penganjuran Festival Kuching yang terkenal sehingga menarik lebih satu juta pengunjung setiap tahun.
Sehubungan itu, Dr. Sim berharap agar Ahli-Ahli Majlis baharu akan menjalankan tugas secara amanah dan bertanggungjawab serta bekerjasama erat dengan pihak pengurusan MBKS bagi mencapai matlamat bandar pintar, mesra karbon sifar dan mesra komuniti.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Datuk Bandar MBKS, Dato Wee Hong Seng, ahli-ahli majlis yang baharu dilantik, pegawai-pegawai kanan kerajaan dan wakil komuniti setempat. – TVS