MUKAH, 11 April: Seramai 734 peserta telah mendaftar acara pembuka tirai Kaul Mukah 2025 iaitu Kaul Mukah Run (KMR) pada 19 April ini yang terbahagi kepada tiga kategori iaitu acara larian 5 kilometer dan 10 kilometer serta 3 kilometer Fun Walk.
Menurut Penyelaras Teknikal KMR, Ahmad Faridzam, buat julung kalinya KMR menganjurkan kategori 10km dan 3km Fun Walk.
Ahmad Faridzam memberitahu, seramai 150 penyertaan untuk acara larian 10km, 288 peserta untuk acara 5km dan selebihnya, 296 menyertai Fun Walk 3 km.
“Acara larian 5km dan 10km masing-masing terbahagi kepada beberapa kategori seperti Lelaki Terbuka (44 tahun ke bawah), Lelaki Senior (45 tahun ke atas), Wanita Terbuka (44 tahun ke bawah), dan Wanita Senior (45 tahun ke atas).
“Bagi peserta yang telah mendaftar KMR ini diminta untuk menuntut Bip Larian mulai 17 dan 18 April 2025 jam 9.30 pagi hingga 5.00 petang di Tapak Kaul Mukah, Pantai Kala Dana, Mukah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, hadiah wang tunai terkumpul sebanyak RM11,500 akan menjadi habuan peserta yang berjaya menamatkan larian bagi dua kategori larian tersebut kelak.
Selain itu, cabutan nombor Bip Bertuah juga akan diadakan bagi semua peserta yang telah mendaftar KMR.
Ahli Dewan Undangan (ADUN) Balingian merangkap Presiden Persatuan Melanau Mukah, Yakub Arbi dan ADUN Tellian, Royston Valentine dijangka akan membuat pelepasan larian 10km seawal jam 6.30 pagi, diikuti kategori 5km dan 3km ‘Fun Walk’.
Untuk maklumat lanjut, peserta boleh menghubungi Farid (0138184030), Jacq (01119918491) dan Fika (0145982047). – TVS