KABONG, 11 April: Sebanyak 17 projek di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) bernilai RM3.14 juta yang dikendalikan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak bakal dilaksanakan di Kabong tahun ini.
Projek-projek tersebut melibatkan pelbagai inisiatif pembangunan infrastruktur asas seperti pembinaan jalan kampung, menaik taraf kemudahan awam, serta penambahbaikan sistem saliran dan perparitan yang bertujuan meningkatkan sosioekonomi penduduk setempat.
Untuk rekod, sebanyak 40 projek pembangunan keseluruhan dengan jumlah peruntukan RM5 juta telah diluluskan bagi daerah Kabong di bawah pelaksanaan RTP tahun 2025.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir meyakini pelaksanaan kesemua projek itu memberi impak positif terhadap pembangunan sosioekonomi penduduk setempat, di samping menyokong agenda kerajaan negeri dalam merapatkan jurang pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar.
“Antaranya ialah bina baru dewan serbaguna terbuka Rumah Belayong Salleh Ulu Roban (RM450,000, naiktaraf dewan terbuka Rumah Nyandang Ulu Roban (RM100,000 ), naik taraf struktur Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Pasir (RM100,000) dan naik taraf jalan serta jeti Kampung Sessang (RM250,000).
“Pada masa yang sama, kita juga akan menaiktaraf Dewan LAKIN Nyabor (RM350,000), Gelanggang Sepak Takraw Kampung Nyabor (RM80,000) selaij membina baharu bilik sejuk PNK Gerigat (RM300,000), jeti nelayan Kampung Darat Gerigat (RM250,000),” katanya selepas mengadakan lawatan ke Tapak Projek RTP DUN N.40 Kabong, hari ini.
Bagi keselesaan kariah ujarnya, kerajaan turut menaiktaraf Masjid Ar-Rahim Kampung Gerigat (RM150,000), Masjid Lama Kampung Alit Kabong (RM100,000) dan Surau An-Nur Rahman Metang Disa Kabong (RM100,000).
Menurutnya, projek bina baharu jambatan Ladang Sawit Kampung Metang Desa juga bakal dilaksanakan dengan peruntukan RM200,000 di samping baik pulih Pejabat Daerah Kabong (RM100,000).
Selain itu katanya, sebanyak RM80,0000 juga diperuntukan untuk menaik taraf gelanggang sepak takraw Kampung Sungai Pala Kabong di samping pelbagai laluan belian kepada laluan konkrit Kampung Hulu Lintang (RM270,000), naik taraf rumah sebaguna Skim Kelapa Tanjung Empiyong (RM60,000) dan laluan belian ke laluan konkrit Lorong Ali Wan (RM200,000).
“Sehubungan itu, pihak berkuasa tempatan bersama JKR akan memantau secara berterusan pelaksanaan projek-projek ini agar dapat disiapkan mengikut jadual dan spesifikasi yang ditetapkan, demi manfaat rakyat di daerah Kabong,” tegasnya.
Hadir sama, Ahmad Sabree Salleh yang mewakili Pegawai Daerah Kabong, Pegawai Tadbir Menguasa Pejabat Daerah Kecil Roban, Steve Miller Nuas, Jurutera Awam JKR Betong, Dayang Nurashreen Muneera Awang Mahmud, Penghulu Wahab Samsu dan Penghulu Rahman @ Dom Kapok. -TVS