KUCHING, 11 April: Lebih 1,000 projek infrastruktur di bawah seliaan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak di seluruh negeri ini dilaporkan dalam fasa pelaksanaan pada tahap memuaskan.
Setiausaha Persekutuan Sarawak, Dato Ahmad Nadzri Mohd Hassan berkata, setakat Mac 2025, lebih 100 buah projek berjaya disiapkan, sementara 400 buah projek pula giat dilaksanakan dan kemajuannya mendahului jadual pelaksanaan yang direncana.
“Projek pembangunan persekutuan di Sarawak berjumlah lebih daripada 1,000 buah projek serta bernilai lebih daripada RM5 bilion dan daripada jumlah itu, lebih daripada separuh berjalan mengikut ataupun melebihi jadual. Manakala selebihnya sedang dipantau dengan rapi oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) di bawah Jabatan Perdana Menteri,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis Mesra Madani Aidilfitri Setiausaha Persekutuan Sarawak bersama-sama warga Kompleks Persekutuan Kuching 2025 pada Jumaat.
Untuk rekod, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak diberi mandat pelaksanaan projek-projek infrastruktur di wilayah ini oleh kerajaan negeri untuk mempertingkatkan kapasiti kecekapan terutama dalam memastikan kesemua projek bawah RM50 juta diselesaikan mengikut jadual yang ditetapkan secara efisien.-TVS