Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Abdul Hakim Well, 23 dan Roystein Emmor, 43 ketika ditemu bual pemberita Bernama di Bandaraya Kuching. Foto Bernama

STR: Golongan bujang manfaatkan bantuan, urus kewangan lebih baik

KUCHING, 10 April: Individu bujang berpendapatan rendah dan sederhana antara golongan yang tidak pernah dilupakan kerajaan dalam penyaluran pelbagai bantuan kewangan bagi membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat.

Ini termasuk bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa Dua yang disalurkan mulai 24 Mac lepas.

Beberapa individu bujang yang ditemui di sini menzahirkan penghargaan kepada kerajaan dan menyifatkan bantuan yang disalurkan secara empat fasa dalam setahun itu sedikit sebanyak memberi kelegaan kepada mereka.

Seorang penjawat awam Abdul Hakim Well, 23, berkata bantuan STR yang diterimanya digunakan untuk membayar bil utiliti dan membeli barangan keperluan harian.

“Malah bantuan ini turut dapat digunakan sebagai simpanan untuk kegunaan pada kemudian hari,” katanya kepada Bernama.

Pembayaran STR Fasa Dua melibatkan peruntukan RM1.7 bilion, meningkat berbanding RM1.5 bilion pada tahun lepas.

Sebanyak 8.5 juta penerima yang terdiri daripada 60 peratus rakyat dewasa Malaysia, mendapat bantuan sehingga RM650 menerusi STR Fasa Dua.

Sementara itu kakitangan sebuah syarikat swasta Roystein Emmor, 43, berkata STR memberi ruang kepada beliau mengatur kewangan dengan lebih baik, termasuk mengurangkan hutang dan merancang perbelanjaan bulanan.

“Bantuan ini bukan sahaja membantu untuk membeli barang keperluan asas seperti makanan dan bil elektrik, tetapi juga memberi peluang untuk saya menyusun kewangan.

“Walaupun RM10, ia tetap boleh disimpan untuk kegunaan masa hadapan,” ujarnya.

Turut senada, Desiree David, 28, juga pekerja syarikat swasta yang menggunakan bantuan itu bagi meringankan beban kewangan bulanannya termasuk bagi menyara bapanya yang sudah tidak bekerja.

“Duit tambahan itu juga saya boleh gunakan untuk menampung perbelanjaan bagi membeli barangan keperluan harian dan mengisi minyak kereta bagi ulang-alik ke tempat kerja,” katanya.-TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan