MIRI, 10 April: Seramai 12 ahli Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Sarawak Skills Miri telah mengadakan lawatan rasmi ke Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lutong, hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Sarawak Skills, Cassandra Izzati berkata, lawatan tersebut bertujuan untuk memahami dengan lebih dekat peranan serta fungsi balai bomba sekali gus mengenali aktiviti yang dijalankan oleh pihak bomba.
“Tujuan lawatan ini adalah untuk melihat dengan lebih dekat lagi peranan dan fungsi balai bomba serta mengenali aktiviti yang dijalankan. Saya percaya kunjungan ini mampu mengukuhkan lagi hubungan antara kedua-dua pihak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Lawatan dimulakan dengan sesi menandatangani buku pelawat, diikuti taklimat oleh Ketua BBP Lutong, Henry Jugah mengenai sejarah penubuhan, fungsi utama serta pelbagai aktiviti dan program yang dilaksanakan di balai tersebut.
“Rombongan turut diberikan penerangan mengenai fungsi bilik kawalan dan jentera bomba, sebelum dibawa meninjau sekitar kawasan balai termasuk sudut aktiviti, sudut Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) serta kemudahan-kemudahan lain yang terdapat di balai tersebut,” katanya lagi.
Tambahnya, Sarawak Skills Miri merancang untuk mengadakan pelbagai program kolaboratif bersama BBP Lutong pada masa akan datang. – TVS