MIRI, 10 April: Sarawak Water Sdn Bhd hari ini meraikan sambutan Hari Air Sedunia 2025 dengan kerjasama Curtin University Malaysia menampilkan tema global tahun ini iaitu “Preserving Glaciers for Our Future” yang menekankan kepentingan pemeliharaan glasier demi kelestarian sumber air dunia.
Ketua Pegawai Operasi Sarawak Water Sdn Bhd, Affendi Taher berkata, bahawa meskipun glasier kelihatan jauh daripada realiti geografi Malaysia impaknya tetap dirasai secara langsung melalui perubahan iklim, corak hujan, aliran sungai dan sumber air minuman negara.
“Pemeliharaan glasier bukan hanya tanggungjawab global ia bermula dari tindakan tempatan. Bila kita mengurangkan pencemaran, menjimatkan air dan menjaga hutan, kita sebenarnya membantu memperlahankan pencairan glasier,” katanya ketika merasmikan sambutan Hari Air Sedunia 2025 di Sarawak water Sdn. Bhd., Miri, hari ini.
Beliau turut menyeru semua lapisan masyarakat untuk berganding bahu demi memastikan bumi yang lebih lestari, melalui amalan pengurusan tanah yang bijak, penyebaran kesedaran serta penyertaan aktif dalam program-program alam sekitar.
“Kepada para pelajar, andalah suara perubahan yang berinovasi, buat kajian dan pimpin dengan teladan. Kepada komuniti, pemimpin masyarakat dan rakan-rakan kerjasama, andalah jantung tindakan.
“Kepada rakan sekerja kita, kita adalah jambatan marilah kita menyokong program alam sekitar, dasar dan kempen kesedaran bersama-sama,” katanya. – TVS