LONDON, 10 April: Ribuan jutawan telah meninggalkan London dalam setahun lalu, dengan sebahagian daripada mereka berpindah ke Amerika Syarikat atau Asia, didorong oleh cukai yang tinggi dan Brexit, menurut satu laporan yang diterbitkan pada hari Rabu.
Penghijrahan ini meneruskan trend selama sedekad yang dikaitkan dengan peningkatan cukai, kegagalan untuk pulih daripada krisis kewangan 2008 dan pengunduran Britain yang tegang dari Kesatuan Eropah.
Menurut World’s Wealthiest Cities Report 2024 yang diterbitkan oleh firma penasihat Henley & Partners bersama syarikat data New World Wealth, seramai 11,300 jutawan keluar dari London sepanjang tahun 2024.
Laporan itu menunjukkan London kini mempunyai 215,700 jutawan, berkurang daripada 227,000 pada 2023.
Ibu kota Britain itu kini berada di kedudukan keenam, setelah dipintas oleh Los Angeles yang mencatatkan 220,600 jutawan.
Ketua penyelidikan New World Wealth, Andrew Amoils, berkata bahawa “penguasaan yang semakin meningkat” oleh Amerika Syarikat dan Asia dalam sektor teknologi telah menyebabkan “beberapa usahawan teknologi kaya di UK mempertimbangkan semula lokasi mereka”.
“Brexit boleh dikatakan memburukkan lagi keadaan ini,” katanya dalam komen yang dihantar melalui emel kepada AFP.
Beliau menambah bahawa kadar cukai keuntungan modal dan duti pusaka di UK adalah antara yang tertinggi di dunia yang menyebabkan pemilik perniagaan kaya dan pesara enggan tinggal di sana.
Amoils turut menyatakan kepentingan yang semakin merosot di Bursa Saham London yang kini berada di tangga ke-11 dunia berdasarkan modal pasaran serta kebangkitan pusat kewangan berdekatan seperti Frankfurt dan Dubai.
Akhbar The Times melaporkan bahawa penasihat cukai mendedahkan sesetengah individu telah berpindah ke negara seperti Portugal, Sepanyol, Greece, Emiriah Arab Bersatu dan Itali yakni kadar cukai lebih rendah atau mereka boleh membayar yuran tahunan tetap untuk mengelakkannya.
Menurut kajian tersebut, populasi jutawan di London telah merosot sebanyak 12 peratus sejak tahun 2014.
Moscow merupakan satu-satunya lagi bandar dalam senarai 50 teratas yang mencatatkan penurunan, dengan kejatuhan sebanyak 25 peratus akibat pencerobohan Rusia ke atas Ukraine pada tahun 2022.
Paris mencatatkan peningkatan lima peratus dalam bilangan penduduk jutawan sejak 2014, manakala kawasan Teluk San Francisco melonjak sebanyak 98 peratus dan Singapura menikmati pertumbuhan jutawan sebanyak 62 peratus.
Bandar New York kini mempunyai bilangan jutawan paling ramai di dunia, iaitu seramai 384,500 orang.