Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Projek pembinaan Jalan Passin-Matu kini dilaksanakan dan dijangka siap sepenuhnya Disember 2026. Foto DUN N.43 Daro

Projek pembinaan Jalan Passin–Matu kini diteruskan, capai 22.45 peratus siap

DARO, 10 April: Projek rakyat merangkumi pembinaan jalan menghubungkan Passin dengan Matu yang sebelum ini tertangguh kini diteruskan dan berjalan lancar mengikut perancangan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad berkata, laluan sepanjang 19.3 kilometer (km) yang menelan belanja sebanyak RM77.88 juta itu kini mencapai 22.45 peratus kemajuan pelaksanaannya dan dijangka siap pada Disember 2026.

Ketika ini katanya, kerja-kerja pembersihan tapak serta pemupukan pasir sedang giat dijalankan di kilometer 13 dari arah Jemoreng. Ia merupakan antara fasa penting sebelum pembinaan struktur jalan dapat diteruskan sepenuhnya.

“Kita mengambil perhatian sewajarnya bagi memastikan projek ini dapat diteruskan dan disebabkan kegagalan peringkat awalnya telah menyebabkan kos projek meningkat daripada kos asal RM65 juta, selepas kajian semula (mengambil kira) kenaikan kos bahan binaan dan sebagainya, untuk menyiapkan projek ini memerlukan peruntukan RM98 juta.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang sentiasa memberi perhatian khususnya dalam memastikan kawasan luar bandar tidak terpinggir dalam arus pembangunan.

“Beliau meluluskan peruntukan peruntukan tambahan itu sekali gus membolehkan projek itu diteruskan, semula bermula tahun lepas melalui kaedah kontraktor penyelamat,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut Safiee, projek dijangka memberikan manfaat besar kepada penduduk setempat dengan memperbaiki akses pengangkutan, memendekkan jarak perjalanan serta merangsang pertumbuhan ekonomi di kawasan luar bandar.

Katanya, antara yang menerima faedah tujuh rumah panjang di kawasan Passin termasuk sebuah sekolah dan sebuah klinik kesihatan.

“Sudah pastinya projek ini memberi impak yang baik dan amat diperlukan oleh penduduk kawasan ini kerana kawasan ini merupakan penempatan masyarakat Iban yang paling jauh di daerah Matu di bawah pentadbiran N.43 Daro yang mempunyai penduduk kira-kira 2,000 orang,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan berkaitan, beliau memberitahu, Kerajaan Sarawak melalui Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (Turnkey) memperuntukkan RM6 juta untuk melaksanakan kerja pemasangan elektrik di kawasan berkenaan.

Projek itu katanya, juga meliputi tujuh buah rumah panjang dan dewan serbaguna dengan kos keseluruhan RM6 juta. Setakat ini, kemajuan projek mencapai 74.22 peratus.

“Dengan siapnya jalan ini nanti beberapa projek lain yang telah kita rancang termasuklah projek bekalan air. Pihak Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) sudah memasukkan peruntukan sebanyak RM30 juta bagi menyalurkan bekalan air dari Loji Rawatan Air Jemoreng terus ke kawasan ini.

“Projek ini telah dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) yang telah dikemukakan dibawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, Malaysia.

“Passin hari ini bukan lagi terpencil, selain bakal dihubungkan dengan jalan raya, penduduknya juga sudah menikmati kemudahan jalur lebar berbanding sebelum ini,” katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan