Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Wakil dari Petronas, Petrovietnam dan Hibiscus Petroleum yang hadir pada majlis menandatangani perjanjian di Hanoi, hari ini. Foto PETRONAS

Petronas, Petrovietnam meterai lanjutan PSC dan UGSA selama 20 tahun untuk PM3 CAA

ByRegina Lee

HANOI, 10 April: Petronas menerusi Malaysia Petroleum Management (MPM) dan Vietnam Oil and Gas Group (Petrovietnam) hari ini menandatangani Perjanjian Prinsip Utama (KPA) bagi lanjutan Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) dan Perjanjian Penjualan Gas Huluan (UGSA) bagi Kawasan Susunan Komersial PM3 (PM3 CAA) selama 20 tahun sehingga 31 Disember 2047.

PM3 CAA, yang merangkumi lebih 2,000 kilometer persegi kawasan luar pesisir merentasi sempadan maritim Malaysia dan Vietnam, merupakan lambang kejayaan kerjasama dalam bidang tenaga rentas sempadan yang berterusan sejak sekian lama.

Naib Presiden Kanan MPM PETRONAS, Datuk Ir. Bacho Pilong berkata perjanjian tersebut menekankan komitmen jangka panjang kedua-dua pihak dalam menyokong keselamatan tenaga serantau.

“Dengan anggaran rizab berbaki sehingga 60 juta tong bersamaan minyak (MMBoe), PM3 CAA kekal sebagai sumber penting untuk pembangunan tenaga mampan di rantau ini.

“Perjanjian ini mencerminkan dedikasi kedua-dua pihak dalam memastikan kesinambungan pengeluaran serta monetisasi sumber tenaga dari peringkat penerokaan hingga ke pembangunan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Perjanjian itu ditandatangani di Hanoi oleh Bacho dan Naib Presiden PETROVIETNAM, Le Manh Cuong dan disaksikan oleh Duta Besar Malaysia ke Vietnam, Dato’ Tan Yang Thai dan Menteri Kaunselor (Ekonomi), Suhaili Ismail.

Turut hadir ialah wakil daripada Hibiscus Oil & Gas Malaysia (PM3) Limited, Hibiscus Oil & Gas Malaysia Limited (HML), PETRONAS Carigali Sdn Bhd (PETRONAS Carigali) dan PetroVietnam Exploration Production Corporation Limited (PVEP).

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan lanjutan PSC dan UGSA ini dijangka memastikan operasi berterusan di tujuh medan utama PM3 CAA serta membuka lebih banyak potensi pembangunan medan baharu.

Kemudahan sedia ada juga bakal berfungsi sebagai hab strategik bagi menyokong sambungan dari penemuan berhampiran, sekali gus mengoptimumkan penggunaan aset serta memperkukuh keselamatan tenaga di Malaysia dan Vietnam.

Selain itu, kenyataan tersebut turut mendedahkan bahawa UGSA yang baharu turut direka bentuk bagi mengekalkan daya maju ekonomi pembangunan medan gas akan datang, dengan jaminan bekalan ke Malaysia melalui Kertih dan ke Vietnam menerusi Ca Mau.

“PM3 CAA juga dijangka menjadi hab berpotensi bagi pelaksanaan penyerapan semula karbon dioksida (CO₂) daripada aktiviti pengeluaran petroleum, menyokong aspirasi sifar bersih kedua-dua negara menjelang 2050,” kata kenyataan itu.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan