SIBU, 10 April: Industri muzik Iban kehilangan seorang lagi komposer dan pengarah muzik veteran, Yazid Ismail yang telah meninggal dunia pada malam Rabu.
Namanya mungkin tidak begitu dikenali di luar kalangan peminat setianya, namun Allahyarham diakui mengabadikan hampir separuh hidupnya untuk mengangkat muzik masyarakat Dayak, khususnya Iban.
Dilahirkan di Perlis, Allahyarham Yazid tidak pernah menyangka takdir akan membawanya jauh ke Borneo, bukan sekadar untuk mencari rezeki, tetapi untuk menemui panggilan jiwanya yang sebenar.
Selepas berpindah ke Sibu pada awal 1990-an, beliau mula melibatkan diri dengan Tiew Brothers Company (TBC), salah satu penerbit utama muzik Iban ketika itu.
Di situlah beliau menemui dunia baharu yang mengubah arah seninya sepenuhnya.
Karya-karya ciptaannya menjadi batu loncatan kepada ramai penyanyi tempatan yang kini dikenang sebagai lagenda dalam industri muzik Iban, antaranya mendiang Michael Jemat, Andrewson Ngalai, Johnny Aman, Johnnical Sanggam, Casmir, Rozlina, Embat Lala dan Rosiana Urai.
Meskipun berasal dari Semenanjung, Yazid tidak pernah melihat perbezaan budaya sebagai penghalang.
Sebaliknya, beliau belajar dan memahami keunikan bahasa serta jiwa muzik Iban dan mengadunnya dengan kepekaan muzik yang tinggi, hasil pengalaman awalnya bersama kumpulan rock 1980-an, Blackfire.
Beliau pernah mendirikan rumah tangga dengan penyanyi terkenal Rosiana Urai, dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan seorang anak perempuan.
Meskipun hubungan itu tidak berkekalan, mereka kekal sebagai insan seni yang saling menghormati.
Pemergian Yazid pada usia 65 tahun di kediamannya di Lorong Bukit Lima Timur 2A, di Sibu malam semalam, dirasai oleh ramai.
Menurut adiknya, Datuk Mokhzani Ismail, Yazid rebah selepas makan malam dan disahkan meninggal dunia sekitar jam 9.30 malam.
“Dia satu-satunya abang saya. Saya sempat berbalas mesej dengannya pagi semalam… kemudian saya terima berita itu,” kata Mokhzani dalam hantaran media sosial penuh hiba, memohon agar orang ramai sedekahkan Al-Fatihah buat roh abangnya.
Jenazah Allahyarham diuruskan oleh Masjid Al-Muhajirin, Kampung Sentosa dan telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kemuyang hari ini.
Sejak berita kematiannya tersebar, media sosial dibanjiri ucapan takziah dan kenangan manis daripada peminat serta rakan-rakan muzik.
Ramai mengenang Yazid sebagai insan yang tenang, rendah diri, tetapi sangat berdedikasi, seorang seniman yang benar-benar percaya bahawa muzik mampu menyatukan jiwa dan merentas sempadan budaya.
Kini, walau jasadnya telah pergi, karya-karya Yazid seperti ‘Lyana’, ‘Linda’, ‘Sanggup Beserara’, ‘Happy Malam Minggu’, dan banyak lagi akan terus hidup, di radio, di majlis-majlis, dan di hati mereka yang membesar dengan melodi ciptaannya.-TVS