KUALA LUMPUR, 10 April: Satu mesyuarat khas pemimpin ASEAN akan diadakan untuk membincangkan langkah menangani potensi gangguan terhadap perdagangan serantau, rangkaian rantaian bekalan dan pelaburan rentas sempadan susulan peningkatan cabaran geopolitik dan ekonomi ketika ini.
Menerusi satu kenyataan selepas mesyuarat khas Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) hari ini, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata mesyuarat itu bertujuan untuk memastikan ASEAN terus menjadi hab yang stabil, berdaya saing dan menarik bagi perdagangan dan pelaburan global.
Beliau yang mempengerusikan mesyuarat yang diadakan secara maya itu berkata pendirian yang dinyatakan menerusi Kenyataan Media Bersama AEM akan dibentangkan pada mesyuarat khas pemimpin ASEAN.
Mesyuarat hari ini diadakan untuk membincangkan impak daripada pengumuman tarif timbal balik oleh Amerika Syarikat (AS) pada 2 April lepas dan dihadiri oleh menteri ekonomi semua negara anggota ASEAN dan Timor Leste serta Setiausaha Agung ASEAN.
Bagaimanapun, pada 9 April Presiden AS Donald Trump mengumumkan beliau telah menangguhkan tarif timbal balik selama tiga bulan ke atas semua negara kecuali China.
Oleh itu, pada mesyuarat hari ini, para menteri sepakat bahawa penangguhan tersebut akan memberi peluang kepada perkumpulan untuk mencari penyelesaian pragmatik dan saling menguntungkan bagi ASEAN dengan cara strategik dan berhemah.
Tengku Zafrul berkata negara anggota ASEAN dan Timor-Leste sebulat suara menyangkal asas yang digunakan sebagai pengiraan oleh AS dan bersetuju bahawa tarif timbal balik tersebut – antara 10 peratus hingga 49 peratus – akan memberi impak besar terhadap pertumbuhan ekonomi dan trajektori pembangunan rantau ini.
“Tarif ini akan menjejaskan usaha integrasi ekonomi serantau ASEAN yang dibina atas sistem berasaskan peraturan, sejak penubuhannya pada 1967,” katanya, namun perkumpulan itu berpandangan tindakan balas bukanlah satu pilihan.
“AEM khas juga menggariskan kepentingan mengekalkan perbincangan yang membina, tidak bertindak balas terhadap AS untuk menangani cabaran yang muncul sambil terus meningkatkan hubungan ekonomi antara ASEAN dan AS berdasarkan kepentingan bersama dan keutamaan bersama,” katanya.
Dalam mengekalkan komitmen ASEAN terhadap kerjasama ekonomi terbuka dan inklusif, para menteri menekankan sokongan rantau ini terhadap sistem perdagangan pelbagai hala yang stabil, telus, tanpa diskriminasi, bebas, adil, inklusif, mampan dan berasaskan peraturan.
Pada dasarnya, AEM khas itu juga bersetuju dengan penubuhan Pasukan Petugas Khas Geoekonomi ASEAN, yang akan menjadi platform yang melibatkan pakar, untuk ASEAN membincangkan dan merumuskan tindak balas dasar serantau bagi menangani cabaran ekonomi dan geopolitik yang muncul dengan mengenal pasti risiko dan peluang utama untuk mengukuhkan kedudukan strategik, daya tahan dan kerelevanan rantau ini dalam landskap global yang semakin kompleks. – TVS