KUCHING, 10 April: Persatuan Bekas Pelajar St. Joseph (Old Josephians’ Association – OJA) Kuching akan menganjurkan edisi ke-8 acara larian tahunan Ora Et Labora Run pada 4 Oktober 2025, bertempat di pekarangan SMK St. Joseph bermula 6.00 pagi.
Bertemakan ‘Back to School!’, acara ini bertujuan mengukuhkan semangat kebersamaan dalam kalangan bekas pelajar, keluarga mereka serta pelajar-pelajar semasa dari keluarga Sekolah St. Joseph yang merangkumi SMK St. Joseph, St. Joseph’s Private School dan St. Joseph’s International School.
Presiden OJA merangkap Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian berkata larian ini bukan sekadar mengumpulkan bekas pelajar, malah ia turut menyatukan komuniti sekolah secara keseluruhan.
“Ia menjadi platform untuk menjalin semula hubungan, mengumpul dana dan memberi peluang kepada pelajar mencuba bidang keusahawanan secara kecil-kecilan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Terdahulu, beliau menyempurnakan acara pelancaran Ora Et Labora Run 2025.
Dr. Sim turut memaklumkan bahawa pihak sekolah sedang berusaha untuk mengumpul dana RM2 juta bagi Fasa 1 Pelan Induk SMK St. Joseph.
Fasa ini memberi tumpuan kepada penyediaan lebih banyak kemudahan bagi menggalakkan pembelajaran yang berkesan serta kerjasama dalam kalangan pelajar Josephian.
Beliau menyeru semua warga Josephian, alumni dan badan korporat untuk bersama-sama berganding bahu secara bermurah hati dalam usaha mengumpul dana yang diperlukan untuk projek penaiktarafan penting ini.
Larian ini dibahagikan kepada tiga kategori iaitu 1.4km Walk untuk keluarga dan kanak-kanak, 5km Fun Run dan 10km Race.
Semua peserta yang menamatkan larian akan menerima pingat finisher, manakala bagi kategori 10km Race, 10 peserta terpantas akan menerima hadiah wang tunai tambahan.
Yuran penyertaan bagi setiap peserta ialah RM55 untuk kategori 1.4km Walk dan 5km Fun Run, manakala RM65 untuk 10km Race.
Setiap peserta yang mendaftar akan menerima baju-T larian dan nombor bib. Borang penyertaan boleh didapati di Revolution Run Borneo – Green Heights atau pendaftaran dalam talian boleh dibuat melalui laman web www.malaysiarunner.com.
Untuk sebarang pertanyaan lanjut mengenai Ora Et Labora Run 2025, sila hubungi pejabat Revolution Run Borneo di talian 082-459397.
Maklumat lanjut juga boleh diperoleh di laman web rasmi Persatuan Bekas Pelajar St. Joseph Kuching di www.sjoba.org.my atau di halaman Facebook rasmi mereka di www.facebook.com/oldjosephiansassociation.