BINTULU, 10 April: Bahagian menara sebuah pencawang telekomunikasi di Jalan Tanjung Kidurong di sini, terbakar dalam kejadian petang tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan behubung kes itu jam 3.13 petang dengan menggerakkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi kejadian terdapat kebakaran tower seperti yang dilapor oleh pemanggil.
“Pihak bomba mengalami kesukaran untuk naik ke kawasan kebakaran kerana kedudukan tower terletak di atas bukit yang agak tinggi dan jalan yang sempit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, pihak bomba menggunakan kenderaan Hilux milik syarikat telekomunikasi Maxis untuk naik ke kawasan kebakaran.
“Pihak bomba menggunakan dua unit alat pemadam api untuk memadam kebakaran disebabkan kesukaran jentera untuk naik ke kawasan kebakaran beserta tiada sumber air yang berdekatan.
“Setelah memastikan api dipadam sepenuhnya dan kawasan kejadian benar-benar selamat, pihak bomba bertolak balik ke balai,” ujarnya.-TVS