DA NANG, 10 April: Malaysia Tourism Agency Association (MATA) dan Da Nang Tourism Association (DATA) memeterai satu memorandum persefahaman (MoU) di sini pada Rabu, dalam usaha memperkukuh kerjasama pelancongan serantau menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.
Presiden MATA, Datuk Seri Dr Mohd Khalid Harun berkata, pemeteraian itu menandakan komitmen bersama ke arah integrasi pelancongan yang lebih erat antara Malaysia dan Vietnam.
“MoU ini adalah bukti visi bersama kami untuk membentuk landskap pelancongan ASEAN yang lebih terhubung, berdaya tahan dan dinamik.
“Ketika Malaysia bersiap sedia untuk Tahun Melawat Malaysia 2026, kami komited untuk membina kerjasama yang lebih kukuh bersama destinasi serantau seperti Da Nang,” ujarnya dalam kenyataan pada Rabu.
Majlis menandatangani MoU tersebut berlangsung dalam satu sesi khas Persidangan ASEAN Connect, yang memberi tumpuan kepada promosi dan kolaborasi pelancongan serantau, disaksikan oleh delegasi negara ASEAN termasuk duta dan tokoh kenamaan.
Sementara itu, Pengerusi DATA, Cao Tri Dung menyifatkan kerjasama ini sebagai peluang strategik untuk memperluaskan capaian pasaran dan memperkenal pengalaman pelancongan rentas sempadan yang lebih menarik.
“Melalui kerjasama ini, kami berharap dapat membangunkan pengalaman pelancongan rentas sempadan yang menarik, memperluaskan capaian pasaran, dan memperkukuh kerjasama antara komuniti pelancongan kita,” katanya.
Turut menyaksikan majlis menandatangani MoU itu ialah Duta Besar Malaysia ke Vietnam, Datuk Tan Yang Thai dan Duta Besar Filipina ke Vietnam, Meynardo LB. Montealegre.
Persidangan ASEAN Connect bertemakan “Peluang Memperkukuh Kerjasama antara Da Nang dan Rakan-Rakan ASEAN” menjadi platform penting dalam membina jaringan diplomasi bandar-ke-bandar, mempromosi perdagangan dan merancakkan pembangunan pelancongan serantau.
Kerjasama strategik antara MATA dan DATA ini dilihat sebagai pemangkin penting ke arah memperkasakan integrasi pelancongan ASEAN serta memupuk hubungan rakyat antara negara-negara serantau. – TVS