SARIKEI, 10 April: Kerajaan Sarawak memperuntukkan sejumlah RM1.4 juta untuk membangunkan Masjid Nur Permai di sini dalam usaha memperkasa institusi keagamaan setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok, Dato Sri Huang Tiong Sii berkata, peruntukan tersebut merangkumi kerja-kerja naik taraf kemudahan asas, pembinaan struktur baharu serta penyediaan ruang yang lebih selesa untuk kegunaan jemaah setempat.
Menurutnya usaha membangunkan masjid itu mempamerkan bukti keprihatinan kerajaan terhadap keperluan masyarakat Islam di Sarikei, sekali gus memperkukuh peranan masjid sebagai pusat ibadah, pendidikan dan perpaduan komuniti.
“Masjid berperanan penting sebagai nadi pembangunan masyarakat. Justeru, kita mahu memastikan masjid ini lengkap dan mampu menampung keperluan jemaah yang semakin bertambah” katanya ketika dihubungi TVS hari ini.
Berdasarkan rekod, Tiong Sii menyalurkan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (RTP) kepada masjid itu sejak 2019 iaitu sebanyak RM700,000, RM300,000 (2021) dan RM100,000 masing-masing bermula 2022 hingga 2025, tidak termasuk sumbangan daripada saluran lain.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Masjid Nur Permai, Mohammad Reza menzahirkan penghargaan atas sokongan berterusan Tiong Sii dalam membantu merealisasikan pelbagai perancangan pembangunan masjid tersebut.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan projek ini, termasuk Jabatan Agama Islam Sarawak serta penduduk setempat yang sentiasa menyokong inisiatif pembangunan berkenaan.
Projek pembangunan Masjid Nur Permai memberi manfaat kepada lebih 2,000 masyarakat Islam sekitar kawasan Permai dan Repok.-TVS