PUTRAJAYA, 10 April: Kerajaan menjemput perusahaan kecerdasan buatan (AI) terkemuka dari China untuk menubuhkan ibu pejabat serantau mereka di negara ini, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Jelas Perdana Menteri, pelawaan itu selari dengan hasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai hab kepimpinan kecerdasan buatan (AI) serantau.
Tambah Anwar perkara itu telah disampaikan beliau ketika menerima kunjungan hormat daripada Gabenor Guangxi, Lan Tianli dan delegasinya di pejabat beliau di sini, hari ini.
“Kami turut menyentuh usaha-usaha memajukan Inisiatif “Dua Negara, Taman Berkembar” melibatkan Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP).
“Inisiatif itu terus menunjukkan kemajuan positif dengan 19 projek diluluskan bernilai RM25.68 bilion dengan jangkaan pewujudan lebih 10,000 peluang pekerjaan,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya, hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, sehingga kini, RM20.77 bilion telah direalisasikan dengan 7,572 pekerjaan telah diwujudkan dengan ia memperlihatkan manfaat ketara kerjasama Taman Berkembar kepada ekonomi dan tenaga kerja Malaysia.
Dalam pada itu, mengulas mengenai lawatan negara Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia, Anwar berkata kedua-dua pihak akan bertukar pandangan antaranya terkait dengan potensi perdagangan dua hala meliputi ASEAN termasuklah pengukuhan kerjasama AI dan digital.
“China kekal sebagai rakan dagangan terbesar Malaysia untuk tahun ke-16 berturut-turut pada 2024 dengan jumlah dagangan mencecah RM484.12 bilion.
“Manakala Guangxi sebagai pintu masuk China ke ASEAN memainkan peranan penting dalam memudahkan perdagangan dan pelaburan dua hala,” ujarnya. – TVS.