Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Keadaan kawasan insiden kebakaran saluran paip gas ketika tinjauan fotoBernama di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights, baru-baru ini. Foto fail Bernama

Kebakaran Putra Heights: Siasatan forensik di lokasi kebakaran belum dapat dijalankan

ByBernama

KUALA LUMPUR, 10 April: Siasatan forensik di ground zero kejadian paip gas terbakar di Putra Heights, Subang Jaya belum dapat dimulakan berikutan struktur tanah di kawasan itu masih tidak kukuh, kata Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan.

Beliau berkata kerja-kerja menstabilkan struktur tanah di kawasan berkenaan juga berjalan agak perlahan walaupun dilakukan secara 24 jam berikutan cuaca hujan dan air bertakung di dalam kawah yang terbentuk susulan insiden kebakaran saluran gas itu.

Malah katanya, kerja-kerja menanam sheet pile bagi mengukuhkan struktur tanah di sekeliling kawah berkenaan juga belum dapat dijalankan susulan cuaca yang tidak menentu.

Beliau bagaimanapun, optimis laporan awal kejadian berkenaan akan dapat disiapkan dalam tempoh ditetapkan seperti yang diumumkan sebelum ini.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan ketika sidang media mengenai perkembangan terkini kejadian kebakaran melibatkan saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights hari ini. Foto Bernama

“Kita akan berusaha untuk lakukan kerja ini secepat mungkin, ia perlu dilakukan dengan teliti kerana terdapat dua lagi paip di lokasi yang kita perlu jaga integritinya selain tidak mahu merosakkan apa-apa struktur yang mungkin merupakan bukti kejadian,” katanya dalam sidang media di Pusat Kawalan Tempat Kejadian di Subang Jaya hari ini.

Dalam pada itu, Hussein berkata pihaknya telah menjalankan kerja-kerja mengorek di lokasi hingga 10 meter dalam bagi mendedahkan sepenuhnya paip gas yang terlibat dalam kejadian terbabit.

Sementara itu, beliau berkata Jabatan Kerja Raya telah menjalankan pemeriksaan tambahan terhadap rumah-rumah yang disahkan selamat diduduki sebelum ini menggunakan alat Ultrasonic Pulse Velocity untuk mengesahkan keutuhan struktur rumah berkenaan.

Setakat ini katanya, hasil keputusan pemeriksaan yang dibuat menggunakan alat berkenaan adalah konsisten dengan keputusan pemeriksaan yang dijalankan oleh agensi teknikal yang lain seperti Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Tenaga Nasional Berhad dan Air Selangor.

Hussein berkata bagaimanapun, mangsa yang ingin menduduki rumah mereka yang telah disahkan selamat itu boleh membuat pemeriksaan lanjut sendiri dan dialu-alukan membuat aduan di khemah aduan MBSJ di lokasi jika perlu.

“Setakat ini, sebanyak 437 rumah telah diperiksa, 301 disahkan selamat diduduki dan 190 telah dihuni kembali oleh mangsa,” katanya.

Kebakaran saluran gas Petronas pada 8.10 pagi, 1 April menyebabkan api marak setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah lebih 1,000 darjah Celsius dan mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan