KUCHING, 10 April: Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah mencadangkan agar pengurusan kewangan bantuan kebajikan diserahkan sepenuhnya kepada negeri bagi meningkatkan keberkesanan pemantauan dan mencegah sebarang salah laku.
Menurutnya cadangan itu berikutan kawalan kewangan semasa yang berada di bawah Kerajaan Persekutuan tidak sesuai dan menyukarkan proses pemantauan di negeri ini.
“Ketika ini, kawalan kewangan untuk bantuan kebajikan di Sarawak masih di bawah kuasa pegawai kebajikan Persekutuan. Walau bagaimanapun, hanya tiga negeri iaitu Sarawak, Sabah, dan Kelantan yang masih terikat dengan sistem Persekutuan.
“Negeri-negeri lain sudah diberikan kuasa penuh kepada Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri masing-masing untuk mengawal kewangan secara langsung,” katanya selepas Majlis Langgar Meja PUSPEN di sini, hari ini.
Dalam perkembangan sama, beliau mengulas mengenai seorang bekas pembantu tadbir kewangan Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak yang disabit kesalahan pertuduhan pengubahan wang haram dan pecah amanah jenayah (CBT) yang melibatkan lebih daripada RM16 juta.
Terdahulu, pada Rabu media tempatan melaporkan suspek turut dijatuhkan hukuman penjara sebanyak 468 tahun serta denda sebanyak RM180 juta yang jika gagal dibayar akan menggantikan dengan penjara selama 36 bulan, dan tiga sebatan rotan atas 39 pertuduhan pengubahan wang haram dan pecah amanah jenayah (CBT)
Beliau berkata Kerajaan Sarawak berpendapat bahawa apabila kawalan kewangan diserahkan kepada negeri, ia akan membolehkan Pengarah JKM Sarawak mengawal dan memantau kewangan bantuan bulanan yang diberikan kepada golongan yang memerlukan.
“Sistem kewangan yang ada kini tidak serasi dengan keperluan di Sarawak. Ini menyebabkan kesukaran untuk memantau aliran kewangan secara efisien dan membuka peluang menyalahguna atau penyelewengan,” katanya lagi
Ujarnya lagi, bawah sistem semasa, Pengarah JKM Sarawak tidak mempunyai kawalan penuh terhadap kewangan kerana ia dikawal oleh pegawai kebajikan Persekutuan yang menyebabkan ketidakselarasan dalam pemantauan dan memberi ruang untuk masalah salah guna yang sukar dikesan.
“Dengan memberikan kuasa kepada negeri, kami dapat memastikan sistem pemantauan kewangan yang lebih telus dan berkesan.
“Ini akan membolehkan kami mengesan sebarang salah laku lebih awal dan melaksanakan check and balance yang lebih ketat,” ujar beliau.
Tambah beliau, dengan pemberian kuasa ini, kerajaan negeri akan lebih tegas dalam memastikan integriti dalam pengagihan bantuan kebajikan dan mengelakkan sebarang penyelewengan yang membabitkan dana yang sepatutnya membantu golongan yang memerlukan. – TVS