MIRI, 10 April: Dua anggota tentera darat berusia 22 dan 24 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret Miri pada Rabu atas kesalahan membunuh seorang anggota tentera pada 24 Mac lalu.
Ketua Polis Daerah Miri, ACP Alexson Naga Chabu berkata dua suspek itu dituduh di bawah kesalahan Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan kedua-dua suspek memohon supaya kes dibicarakan.
“Mahkamah Majistret Miri menentukan tarikh sebutan semula pada 30 Mei 2025 sementara menunggu laporan bedah siasat, laporan kimia dan izin daripada Pengarah Pendakwaan Negeri supaya memindahkan kes ini ke Mahkamah Tinggi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Alexson berkata lagi, polis menerima satu laporan pada 24 Mac bahawa seorang anggota tentera cedera dan meninggal dunia.
“Hasil siasatan lanjut mendapati terdapat unsur jenayah dalam kejadian ini. Satu kertas siasatan telah dibuka bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh orang,” katanya.
Susulan itu, dua suspek yang merupakan anggota tentera ditangkap dan direman untuk membantu siasatan dalam kes ini.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Muhammad Afiq Syarim, 23, dari Kedah dan Mohamad Faies Khuzaimah, 21, dari Kelantan didakwa dengan niat bersama menyebabkan kematian Muhammad Muqriz antara jam 2.15 pagi hingga 3.05 pagi, 24 Mac lalu.
Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah bilik di Blok Kediaman Bujang LLP, Kompeni Alpa, Batalion Ke-20 Rejimen Askar Melayu Diraja (20 RAMD) Kem Sri Miri.