KUCHING, 10 April: Kerajaan Sarawak akan terus memperluas pengiktirafan terhadap bekas penagih yang pulih melalui inisiatif Medallion Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) dan bantuan dalam menangani isu dadah.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, usaha ini adalah sebahagian daripada komitmen negeri menangani isu dadah secara serius dan jangka masa panjang.
“Tahun ini adalah permulaan dan kita akan meneruskan supaya mereka tahu kejayaan mereka diraikan, bukan sahaja oleh diri mereka tetapi juga oleh komuniti.
“Ia bukan sekadar simbol kejayaan tetapi satu cara kita menyampaikan mesej bahawa pemulihan itu wujud dan kita sebagai masyarakat perlu menyokong proses itu,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Langgar Meja PUSPEN di sini, hari ini.
Ujarnya, langkah ini diilhamkan oleh pengiktirafan yang diberikan di peringkat antarabangsa melalui Konvensyen Komuniti Pemulihan Antarabangsa, dengan individu yang bebas dadah selama dua, enam atau lapan tahun diberi penghargaan.
Pada tahun pertama ini, penerima medallion dipilih berdasarkan senarai yang disediakan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan akan diteruskan setiap tahun.
Dalam masa sama jelasnya , Sarawak merupakan satu-satunya negeri yang menyediakan geran Low Income Family Empowerment (LIFE), sebuah bantuan bagi menyokong bekas klien PUSPEN untuk membina semula kehidupan selepas tempoh rawatan.
Tambah Fatimah, Sarawak mengambil langkah serius membanteras gejala dadah menerusi penubuhan Jawatankuasa Komuniti, sebagai usaha bersepadu yang melibatkan kerjasama pelbagai pihak.
“Dari segi statistik dan pemetaan yang telah kita lakukan, beberapa daerah telah dikenal pasti. Apa tindakan yang perlu diambil akan kita bincangkan dalam Pelan Tindakan 2025 dan itulah tahap keseriusan kita dalam menangani isu dadah di Sarawak,” katanya lagi.
Katanya ia termasuk juga bahagian pemulihan yang akan diformalkan sebagai sebahagian daripada pendekatan menyeluruh.
Dalam pada itu mengulas mengenai penambahan PUSPEN baharu, Fatimah berkata surat telah ditulis kepada Kementerian Dalam Negeri. – TVS