GEORGE TOWN, 10 April: Anggota polis yang mengalami kecederaan parah selepas tertembak diri sendiri di pos pengawal Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini kelmarin dilaporkan meninggal dunia semasa menerima rawatan hari ini.
Koperal A. Francis, 58, menghembuskan nafas terakhir selepas dua hari bertarung nyawa semasa dirawat di unit rawatan rapi umum (GICU), Hospital Pulau Pinang di sini kira-kira pukul 5.12 petang.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, beliau, isteri dan seluruh warga polis Pulau Pinang merakamkan ucapan takziah kepada keluarga di atas pemergian mendiang.
“Semoga mereka tabah menghadapi segala ujian dan ketentuan ini serta dipermudah segala urusan,” katanya menerusi kenyataan di Facebook hari ini.
Terdahulu, media melaporkan, Francis yang bertarung nyawa dipindahkan dari unit rawatan rapi neuro ke GICU hari ini.
Dalam insiden kira-kira pukul 6.12 petang kelmarin, mangsa yang bertugas di Cawangan Kem Komandan itu dilaporkan kritikal selepas tertembak kepala sendiri semasa bertugas di pos pengawal keselamatan.
Anggota itu dikatakan melepaskan satu das tembakan menggunakan pistol jenis P99 dalam milikannya sehingga terkena bahagian kanan kepala. – TVS