GEORGE TOWN, 10 April: Anggota polis yang mengalami kecederaan parah akibat tertembak diri sendiri di pos pengawal Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini pada Selasa dilaporkan semakin stabil.
Ketua polis negeri, Datuk Hamzah Ahmad berkata anggota berpangkat Koperal berusia 58 tahun yang sebelum ini menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) neuro, Hospital Pulau Pinang telah dipindahkan ke wad ICU biasa.
“Mangsa ketika ini masih di bawah pemerhatian doktor pakar.
“Setakat ini belum ada pembedahan dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, polis telah mengambil keterangan daripada bekas isteri mangsa bagi siasatan lanjut, namun masih awal untuk membuat kesimpulan mengenai punca kejadian.
Dalam insiden kira-kira pukul 6.12 petang kelmarin, mangsa yang bertugas di Cawangan Kem Komandan itu dilaporkan kritikal selepas tertembak kepala sendiri semasa bertugas di pos pengawal keselamatan.
Anggota itu dikatakan melepaskan satu das tembakan menggunakan pistol jenis P99 dalam milikannya.
Sementara itu, Hamzah berkata, tiada sebarang perubahan yang akan dilakukan terhadap prosedur operasi standard (SOP) pengendalian senjata api selepas insiden berkenaan berlaku. – TVS