KUCHING, 10 April: Kerja menaik taraf jalan pertanian sepanjang 540 meter di sekitar kawasan Lundu bakal memberi manfaat kepada penduduk di sebanyak 58 buah kampung setempat.
ADUN Opar, Billy Sujang berkata projek pembangunan itu dilaksanakan menerusi dana daripada Greater Kuching Coordinated Development Agency (GKCDA).
Menurutnya, projek tersebut dipercayai mampu untuk membuka jalan kepada penduduk tempatan mengusahakan tanah sendiri sebagai satu inisiatif menambah pendapatan keluarga.
“Semua kampung diberikan dan ia ada 58 kampung jadi tak ada kampung yang saya tinggalkan untuk jalan-jalan petanian ini.
“Saya tak boleh bagi dia buah nenas, lada dan kopi sebab terlalu ramai tapi kita buka jalan mereka boleh usahakan sendiri,” jelasnya.
Beliau berkata demikian semasa ditemui media selepas Majlis Penyerahan Surat Pengesahan Penyertaan Projek Pembangunan Tanah Hak Adat Bumiputera (HAB) kawasan Raya, Lundu di Dewan Serbaguna Kampung Selampit di Lundu pada Khamis.
Projek tersebut merangkumi kerja-kerja menaik taraf jalan pertanian sepanjang lebih kurang 540 meter yang dijangka memberi manfaat besar kepada para pengusaha kebun di kawasan tersebut.
Usaha itu bertujuan meningkatkan kemudahan infrastruktur pertanian setempat, sekali gus menyokong aktiviti ekonomi penduduk kampung. -TVS