KUCHING, 9 April: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar menyifatkan keindahan seni sulaman Keringkam adalah warisan yang wajar dipelihara sepanjang zaman oleh rakyat di negeri ini.
Perkara itu dikongsi menerusi satu hantaran di Facebook beliau hari ini dengan memaparkan beberapa keping gambar isterinya, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd. Sanusi serta anak-anak dan cucu sulung mereka mengenakan sepersalinan sulaman Keringkam pada 1 Syawal lalu.
“Pada 1 Syawal yang lalu, Toh Puan tampil anggun, mengenakan sepersalinan keringkam yang terukir indah, dipadankan dengan busana berwarna kuning lembut iaitu warna yang melambangkan kemuliaan, keceriaan, dan harapan baharu.
“Penampilannya pada pagi raya itu bukan sekadar simbol keindahan luar, tetapi sebuah penghormatan yang mendalam terhadap seni dan budaya yang terus hidup meskipun dunia terus berubah,” catat hantaran berkenaan.
Turut dibariskan dalam hantaran berkenaan, Tun Dr Wan Junaidi mengakui setiap sulaman benang emas pada Keringkam menyemat abadi sejuta cerita tentang warisan dan martabat budaya Sarawak.
“Begitulah dalamnya kecintaan Toh Puan Fauziah terhadap busana tradisional wanita Melayu Sarawak, yang dengan penuh tekadnya beliau angkat semula ke tempat yang sewajarnya dalam arus zaman yang kian maju,” jelas beliau.
Usaha Toh Puan Fauziah, menurut Tun Dr Wan Junaidi menghidupkan kembali Keringkam bukan sekadar tentang pemakaian tetapi ia dalah sebuah perjalanan untuk menghidupkan kesedaran tentang keindahan, seni dan nilai yang terkandung dalam setiap sulaman warisan itu.
“Lebih bermakna, anak-anak perempuan dan cucu sulung Toh Puan turut mengenakan keringkam pada pagi Syawal, memperlihatkan kesinambungan budaya yang dijaga dan dipelihara dalam keluarga.
“Ini bukan hanya sekadar memelihara tradisi, tetapi juga menunjukkan betapa pentingnya nilai jati diri dan kebanggaan terhadap warisan nenek moyang,” ujar beliau lagi.