KOTA SAMARAHAN, 9 April: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar, serta isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Datuk Sanusi menyerikan Majlis Sambutan Aidilfitri Perdana 2025 yang berlangsung di Dewan Jubli, Kampus Samarahan pada malam Rabu.
Kehadiran Tun Dr Wan Junaidi serta isteri amat memaknakan kemeriahan majlis tahunan yang dihadiri lebih 600 warga Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak itu.
Majlis turut menyaksikan Tun Dr Wan Junaidi menyempurnakan simbolik sumbangan Bantuan Awal Pengajian (BAP) kepada 20 pelajar UiTMCS yang layak, masing-masing menerima RM1,000, satu inisiatif murni dari Yayasan Perpaduan Sarawak untuk meringankan beban pelajar B40 memulakan pengajian semester baharu.
Sementara itu, UiTMCS turut telah mengambil inisiatif untuk memperkenalkan pelbagai jenis bantuan seperti menyediakan foodbank serta Dapur HEP (Hal Ehwal Pelajar), bertujuan membantu pelajar yang memerlukan bantuan makanan sepanjang proses pengajian di kampus.
Majlis turut menyaksikan pengiktirafan kepada pelajar dan staf menerusi Anugerah Busana Terbaik serta Gerai Terbaik, menyerlahkan kreativiti dan semangat warga UiTM dalam meraikan Syawal.
Hadir sama memeriahkan majlis, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah serta isteri Datin Sri Zuraini Abdul Jabar dan Timbalan Menteri (Pembangunan Bakat) Kementerian Pendidikan Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak serta dif-dif kenamaan yang lain. – TVS