Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Sweden sedia perkukuh kerjasama tenaga hijau bersama Sarawak

ByRegina Lee

KUCHING, 9 April: Sweden berhasrat memperkukuh kerjasama dengan Sarawak dalam sektor tenaga hijau khususnya dalam bidang biojisim, hidrogen dan hidroelektrik, kata Duta Besar Sweden ke Malaysia, Niklas Wiberg.

Beliau memaklumkan bahawa perbincangan dengan pihak negeri dilakukan dengan mengambil kira lebih 100 syarikat Sweden kini beroperasi di Malaysia yang kebanyakannya melabur dalam inisiatif kelestarian.

“Sejak Malaysia mencapai kemerdekaan, terdapat lebih 100 syarikat Sweden bertapak di sini, antaranya ialah ABB, SKF, Volvo Trucks, Ericsson, Scania, Alfa Laval, Atlas Copco.

“Kesemua syarikat ini mempunyai satu persamaan, mereka banyak melabur dalam peralihan tenaga hijau dan bersedia untuk memperluaskan kerjasama di Sarawak.

“Jadi, itu yang kami bincangkan hari ini, iaitu kepentingan untuk mempercepatkan usaha dan untuk maju ke hadapan serta melaksanakan projek-projek bersama,” katanya selepas melakukan kunjungan hormat ke atas Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia hari ini.

Walaupun tiada pengumuman rasmi mengenai pembukaan syarikat baharu di Sarawak, Wiberg mengesahkan bahawa perbincangan sedang dijalankan berkenaan projek bersama yang berpotensi membawa pelaburan masa depan.

“Kami tidak membincangkan rancangan khusus mana-mana syarikat, tetapi kami berbincang mengenai projek yang boleh membawa kepada pelaburan lanjut, termasuk dalam bidang tenaga, biojisim dan hidrogen,” katanya.

Beliau turut menyentuh isu perdagangan global dan menyatakan kekesalan terhadap tarif baharu yang dikenakan oleh Amerika Syarikat, sambil menegaskan komitmen Sweden dan Kesatuan Eropah (EU) untuk memperkukuh hubungan dagangan dengan rantau lain termasuk Asia Tenggara.

“Kami kesal dengan tindakan tarif oleh Amerika Syarikat, tetapi kami bertindak balas dengan meningkatkan dagangan dengan rantau lain seperti Malaysia dan termasuk Sarawak,” katanya.

Wiberg turut mengalu-alukan penyambungan semula rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) antara Malaysia dan EU, yang dimuktamadkan semasa lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Brussels pada Januari lalu.

“Ia kini menjadi satu fakta yang jelas bahawa rundingan FTA telah disambung semula dan kami sedang bergerak ke hadapan dengan positif.

“Ini amat penting memandangkan perdagangan dengan beberapa bahagian dunia lain kini menghadapi cabaran,” katanya lagi.

Terdahulu, Abang Johari telah menerima dua lagi kunjungan hormat daripada Pengarah AFFIN Bank Wilayah Sarawak, Victor Liew Wui Tak dan delegasi Majlis Bandaraya Miri yang diketuai oleh Datuk Bandarnya Adam Yii Siew Sang. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan