SARIKEI, 9 Apr: Sejumlah RM100,000 dana tambahan bagi tahun ini disalurkan kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi Sarikei di sini menerusi Program Transformasi Luar Bandar (RTP), kata Ahli Parlimen Sarikei, Dato Sri Huang Tiong Sii.
Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Huang mengumumkan khabar baik itu semasa lawatan tapak projek RTP yang dianjurkan oleh Majlis Daerah Sarikei di sekolah berkenaan pada Rabu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok itu turut menyatakan komitmennya terhadap pembangunan pendidikan di kawasan Sarikei, khususnya dalam mempertingkatkan kemudahan sekolah.
Beliau turut memaklumkan bahawa sejak tahun 2016, sejumlah RM750,000 telah disalurkan kepada SMK Tinggi Sarikei melalui RTP serta pelbagai saluran lain.
Rekod menunjukkan peruntukan tahunan yang diterima sekolah ini adalah sebanyak RM120,000 pada tahun 2016, RM100,000 masing-masing pada tahun 2019 dan 2020, RM80,000 (2021), RM50,000 (2022), dan RM100,000 bagi tahun 2023, 2024 dan 2025.
Menurut Pengerusi Lembaga Pengurusan SMK Tinggi Sarikei Dr. Chieng King Chong, Huang bukan sahaja menyumbang melalui saluran rasmi kerajaan, tetapi turut memberi sumbangan peribadi bagi membantu pembangunan sekolah.
Beliau juga memuji usaha ADUN Repok itu yang turut menitikberatkan kebajikan pelajar melalui tajaan pakaian seragam, kasut dan beg sekolah bagi meringankan beban ibu bapa.
“Beliau merupakan seorang wakil rakyat yang berdedikasi, rajin serta sentiasa berkhidmat dengan sepenuh hati demi kesejahteraan masyarakat di kawasan Repok dan Meradong,” ujar Dr. Chieng.
Lawatan tersebut turut disertai Jurutera Majlis Daerah Sarikei, Bobari Bilong Nelson Epoi, Ketua Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Sarikei, Sr Awan Amal dan Pengetua SMK Tinggi Sarikei, Ong Yew Ming.