MUKAH, 9 April: Persatuan Melanau Mukah mengorak langkah baharu dalam penganjuran Kaul Mukah tahun ini dengan memperkenalkan pertandingan Slingshot Challenge pada 26 April 2025 bertempat di Pantai Kala Dana Mukah.
Buat julung kalinya Kenyalang Slingshot telah diamanahkan menganjurkan cabaran ini yang turut berkolaborasi bersama Pemuda PBB N58 Balingian, Pertubuhan Belia Parlimen Mukah dan SABERKAS Cawangan Balingian.
Pertandingan ini terbuka kepada semua individu yang berumur 16 tahun ke atas yang wajib mengisi borang pendaftaran dengan lengkap dan menghantar borang tersebut sebelum tarikh tutup 22 April 2025. Yuran Penyertaan sebanyak RM10 sahaja untuk setiap kategori hendaklah dibayar secara dalam talian kepada pihak penganjur.
Menurut Ahli Jawatankuasa Penganjur, Tarmizi Karnain, cabaran ini adalah secara individu sahaja untuk kategori 10 meter dan lapan meter, pihak penganjur akan menyediakan peralatan asas yang diperlukan untuk pertandingan seperti Slingshot dengan sewaan sebanyak RM5 untuk setiap kategori.
“Peserta dibenarkan untuk membawa peralatan mereka sendiri, tetapi peralatan tersebut mesti memenuhi spesifikasi yang ditetapkan oleh pihak penganjur.
‟Setiap peserta dikehendaki untuk mematuhi peraturan pertandingan yang telah ditetapkan oleh penganjur. Mana-mana peserta yang didapati melanggar peraturan pertandingan, seperti menggunakan peralatan yang tidak sesuai atau bertindak secara tidak adil, akan disingkirkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Yuran penyertaan tidak akan dikembalikan sekiranya peserta gagal menghadirkan diri pada masa pertandingan dan peserta tidak boleh ditukar ganti.
Simulasi Slingshot akan diadakan pada 19 April 2025 bertempat di tapak pertandingan untuk para pengunjung yang ingin mencuba permainan ini.
Dijangka Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Yakub Arbi dan ADUN Tellian, Royston Valentine akan membuat simbolik perasmian Slingshot Challenge pada 26 April 2025.
Hadiah terkumpul sebanyak RM1,600 bersama piala akan menjadi habuan pemenang untuk cabaran yang julung kalinya diadakan kali ini.
Penganjur juga menyediakan hadiah wang tunai dan piala untuk Sharpshooter Man dan Sharpshooter Woman bagi Kategori Khas serta Acara Kategori Kejutan yang akan diumumkan pada hari pertandingan kelak.
Untuk sebarang pertanyaan lanjut, boleh menghubungi Ahli Jawatankuasa Pendaftaran, June (0104236272) melalui WhatsApp.-TVS