KUCHING, 9 April: Penganjuran beberapa siri kejohanan sukan tenis bertaraf antarabangsa antara langkah dalam mempersiapkan Sarawak menghadapi temasya lain bertaraf antarabangsa.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Gerald Rentap Jabu berkata penganjuran acara sukan bertaraf antarabangsa dapat memberikan pendedahan dan pengalaman kepada pegawai sukan tempatan bagi mengendalikannya.
“Kita dapat memberi pendedahan kepada pegawai teknikal kita untuk mengendalikan pertandingan. Kalau kita tidak mempunyai (pegawai) teknikal (yang baik), kita tidak mempunyai satu taraf.
“Ini juga persiapan kita untuk ke arah Sukan SEA nanti,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Pusingan Akhir Kelayakan Asia – Oceania 2025, Kejohanan ITF World Junior Tennis bagi kategori bawah 14 tahun di Sarawak Lawn Tennis Association (SLTA) di sini, hari ini.
Menurutnya, terdapat tiga lagi kejohanan tenis bertaraf antarabangsa yang akan berlangsung di Sarawak sehingga penghujung tahun ini.
Dalam pada itu Gerald turut optimis, Sarawak mampu menjadi pusat pelancongan sukan tenis kerana kemudahan yang disediakan di SLTA sering dikunjungi pemain tenis dari pelbagai negara yang menggunakan pusat itu sebagai tempat Latihan.
“Saya tidak tahu jika mereka mempersiapkan diri dalam menghadapi kejohanan Sukan SEA tetapi terdapat pemain dari Singapura, Indonesia, Sabah dan Semenanjung yang datang untuk berlatih disini dan memberikan kesan (baik kepada) ekonomi dan perniagaan tempatan,” katanya.
Untuk rekod, kejohanan yang berlangsung pada hari ini menghimpunkan 64 pemain dari 16 negara seluruh dunia, antaranya Australia, New Zealand, Jepun, India, Korea Selatan dan Kazakhstan. – TVS