KOTA BHARU, 9 April: Seorang remaja maut selepas motosikal yang ditunggangnya melanggar seekor lembu di Kilometer 73, Jalan Kota Bharu-Gua Musang berhampiran Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai hari ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Krai DSP Mohd Maizan Mustaffa berkata remaja lelaki berumur 18 tahun itu mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala akibat kemalangan pada 2.17 pagi dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultan Ismail Petra untuk proses bedah siasat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Maizan berkata mangsa yang menunggang motosikal Honda EX5 dari arah Kuala Krai menghala ke rumahnya di Kampung Baru Pahi dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai atau menghubungi Pegawai Penyiasat Insp Mohamad Amirul Izham Azlan di talian 09-9666222,” katanya.