MIRI, 9 April: Penubuhan pusat seni komuniti di Bandaraya ini diyakini membuka lembaran baharu dalam pembangunan seni visual di sini sekali gus menyediakan ruang kepada lebih ramai anak muda untuk mengasah bakat dan mempelajari pelbagai kemahiran seni.
Presiden Persatuan Pelukis dan Seni Visual Miri (PPSVM), Noel Belulok dengan itu menzahirkan penghargaan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew yang membantu dalam merealisasikan penubuhan pusat seni komuniti tersebut.
“Saya berharap selepas ini, ramai anak-anak di luar sana boleh datang ke mari. Kita akan bantu mereka dari segi kemahiran dalam seni dan apa sahaja bidang yang berkaitan,” katanya pada majlis penyerahan peruntukan Program Transformasi Luar Bandar (RTP) di Pusat Persatuan Pelukis dan Seni Visual Miri (PPSVM), hari ini.
Beliau turut menegaskan bahawa pusat ini bersifat terbuka kepada semua termasuk Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan pihak lain yang ingin menggunakan ruang tersebut untuk tujuan berkongsi pengalaman serta ilmu seni.
“Kita sudah berjanji untuk gunakannya secara bersama. Ini adalah tempat untuk kita berkongsi pengalaman dan kemahiran,” katanya lagi.
Noel turut mendedahkan cadangan menganjurkan program Asian Art Connect, yang akan menggabungkan artis dari Brunei Darussalam, Sabah, Thailand dan rantau Asia lain. – TVS