MIRI, 9 April: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew menzahirkan kegembiraan kejayaan Persatuan Diabetes Malaysia Cawangan Daerah Miri memiliki premis sendiri yang kini hampir siap sepenuhnya.
Menurutnya, pembelian bangunan tersebut yang dilakukan kira-kira enam tahun lalu menunjukkan komitmen tinggi pihak persatuan dalam memberikan khidmat kepada komuniti khususnya dalam meningkatkan kesedaran mengenai penyakit diabetes.
“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada pengerusi dan ahli jawatankuasa atas usaha yang sangat baik ini. Ia bukan mudah untuk membeli sebuah rumah bagi kegunaan persatuan, tetapi mereka berjaya melakukannya dengan bantuan dan kemurahan hati rakyat Miri,” katanya ketika lawatan ke tapak Pusat Persatuan Diabetes Malaysia Cawangan Daerah Miri, hari ini.
Tambahnya, pusat tersebut bakal menjadi tumpuan utama bagi orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat serta menjalani saringan awal berkenaan diabetes satu penyakit senyap yang kini semakin meningkat dalam kalangan rakyat Malaysia.
“Masalah utama dengan diabetes ialah kita tidak tahu kita menghidapinya kerana tiada rasa sakit. Berbeza dengan sakit kepala atau sakit perut yang mudah dikenali, diabetes hanya dapat dikesan melalui pemeriksaan berkala,” katanya lagi.
Beliau turut menekankan bahawa kadar diabetes di Malaysia kini berada pada tahap membimbangkan dan menyeru orang ramai agar tidak mengambil ringan terhadap keperluan menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala.
“Dalam kes yang serius, diabetes boleh membawa kepada kebutaan dan kerosakan buah pinggang. Ramai pesakit dialisis adalah mereka yang mengalami masalah kandungan gula dalam darah yang tinggi,” ujarnya.
Sebastian turut memberi jaminan bahawa kementerian berkaitan akan terus menyokong usaha Persatuan Diabetes Malaysia Cawangan Daerah Miri termasuk menyediakan peruntukan bagi program saringan dan ujian darah percuma di lapangan.
“Sokongan orang awam juga amat penting untuk memastikan pusat ini dapat berfungsi sepenuhnya dan memberi manfaat kepada masyarakat,” ujarnya lagi. – TVS