KUALA LUMPUR, 9 April: Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) memberi peluang terakhir kepada majikan yang masih gagal mendaftar dan mencarum untuk pekerja masing-masing menerusi pelaksanaan Bulan Pemutihan sepanjang April ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, majikan yang tampil secara sukarela mendaftar akan dikecualikan tindakan undang-undang termasuk kompaun, pendakwaan serta Faedah Caruman Lewat Bayar (FCLB).
“Saban tahun kita kena melaksanakan Ops Kesan kerana masih ada majikan yang liat dan degil untuk mendaftar dan mencarum untuk pekerja mereka. Sebenarnya, tanggungjawab untuk mendaftar ini adalah tanggungjawab majikan.
“Tetapi masih lagi ada majikan yang memberi pelbagai alasan seperti kurang tahu, menjimatkan kos, mereka ini adalah majikan-majikan yang tidak bertanggungjawab,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Sementara itu menerusi kenyataan media Mohammed Azman Aziz memaklumkan bahawa tiga sektor utama yang dikenal pasti mempunyai kadar ketidakpatuhan tertinggi adalah sektor penginapan serta makanan dan minuman, dengan jumlah kompaun serta pendakwaan mencecah 880 kes tempoh tahun lalu.
“Dua lagi sektor yang turut mencatatkan kes tinggi ialah sektor perkhidmatan lain seperti bengkel dan salon kecantikan dengan 658 kes, serta sektor pengeluaran (590 kes) dalam tempoh yang sama,” katanya.
Justeru, beliau berkata sepanjang tempoh pemutihan ini, semua majikan dalam sektor terlibat diseru untuk memanfaatkan peluang tersebut bagi mendaftar serta menjelaskan caruman pekerja mereka.
PERKESO turut menegaskan bahawa tiada lagi kompromi akan diberikan selepas tempoh pemutihan berakhir dan tindakan tegas termasuk pendakwaan akan diteruskan terhadap mana-mana majikan yang masih ingkar.
Jelasnya, majikan yang didapati masih tidak mendaftar dan mencarum pekerja mereka boleh didenda sehingga RM10,000 atau dipenjara selama dua tahun, atau kedua-duanya sekali. -TVS.