DARO, 9 April: Seorang nelayan dari Kampung Tengah di sini, cemas selepas seekor anak buaya sepanjang dua kaki tersangkut di dalam jala malam tadi.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah, Lt. (PA) Ra’idah Jomi berkata, nelayan terbabit kemudian menghubungi pihak Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk meminta bantuan menangkap buaya tersebut.
“Sepasukan empat anggota APM bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan daripada orang awam berhubung kes itu sekitar jam 9.28 malam.
“Seekor anak buaya yang berukuran dua kaki panjang berjaya ditangkap menggunakan penjerut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, operasi menangkap anak buaya itu bermula pada 9.40 malam dan tamat pada 9.48 malam, pasukan APM mengambil masa kira-kira lapan minit untuk operasi menangkap reptilia itu.
“Setakat ini, anak buaya tersebut masih berada di pos kawalan APM Daro sementara menunggu tindakan lanjut,” ujarnya. – TVS