SIBU, 9 April: Polis melakukan siasatan selepas satu video memaparkan mayat terapung di Sungai Batang Rajang tular di media sosial hari ini.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung video menunjukkan satu mayat terapung di sungai dan segera mengarahkan pasukan Polis Marin untuk menjalankan siasatan.
“Klip berdurasi enam saat itu, dikongsi oleh seorang pengguna Facebook menggunakan nama akaun “Sarawakian bagi memaparkan mayat manusia dalam keadaan tertiarap hanyut di sungai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, pihak polis yang bertindak atas video tular itu, kemudian berjaya menemui mayat seorang lelaki sekitar jam 1.30 petang.
“Mayat berkenaan ditemui dalam keadaan bogel tanpa seurat benang dan terapung secara tertiarap berhampiran tebing sungai,” ujarnya.
Menurut Zulkipli, hasil pemeriksaan awal mendapati mangsa merupakan seorang lelaki botak, dianggarkan berketinggian kira-kira lima kaki, dan memakai seutas rantai benang berwarna merah di leher.
“Tiada kecederaan luaran atau tanda-tanda pergelutan ditemui pada badan mangsa,” katanya.
Beliau menambah bahawa identiti, umur, dan bangsa mangsa masih belum dapat dikenal pasti, memandangkan tiada sebarang dokumen peribadi dijumpai pada tubuhnya.
Mayat terbabit dihantar ke Unit Forensik Hospital Sibu untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.
Kes buat masa ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
Sehubungan itu, Zulkipli menyeru mana-mana individu yang mempunyai maklumat, atau kehilangan ahli keluarga, agar segera menghubungi balai polis berhampiran atau pegawai penyiasat, Sub-Inspektor Donny ak Lai di talian 084-211221.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kematian dan identiti mangsa,”tambahnya. – TVS