Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Mohamad Sardon Zainal (kanan), Shaukei Kahar (tengah) dan Datuk Rashid Sidek. Foto TVS

Liputan acara sukan terkini medan TVS persiapkan diri hadapi Sukan SEA 2027

ByNur Suhaida Muliyono

KUCHING, 9 April: Siaran langsung acara sukan termasuk Kejohanan Badminton Asia (BAC) dan Piala Carabao di saluran TV Sarawak (TVS) merupakan sebahagian daripada persiapan untuk liputan Sukan SEA 2027.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif TVS, Mohamad Sardon Zainal berkata inisiatif tersebut mendukung hasrat Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang mahu TVS mempersiapkan diri untuk menyampaikan liputan terbaik pada temasya sukan terbesar Asia Tenggara itu nanti.

“Kita sekali lagi rasa berbangga kerana telah diberi peluang untuk membuat liputan langsung BAC dari 9 hingga 13 April ini. Sebelum ini kita telah membuat siaran langsung Piala Carabao dan juga badminton. Kita bersedia awal untuk melangkah ke Sukan SEA nanti.

“Seperti yang dimaklumkan oleh Premier Sarawak, kita mendukung hasrat beliau untuk menjadikan TVS ini sebagai satu saluran untuk menyiarkan saluran TV sukan,” ujarnya.

Beliau turut memberi bayangan bahawa TVS akan membuat liputan langsung untuk lebih banyak acara sukan pada masa akan datang.

“Kita mengambil inisiatif ini untuk menarik lebih ramai tontonan rakyat Malaysia kerana tontonan TVS sudah sampai ke peringkat nasional, bukan di Sarawak sahaja. Tontonan kita akan bertambah sebenarnya.

“Peminat sukan di luar sana sudah pasti tertanya-tanya apakah langkah TVS? Inilah langkah kita untuk menambahkan lagi tontonan dalam dunia sukan. Mungkin banyak lagi acara sukan (akan disiarkan) selepas ini.

“Kita ada Borneo Cup yang akan berlangsung pada penghujung tahun nanti dan yang kita nantikan sangat ialah 2027 SEA Games yakni kita mungkin ada 13 jenis sukan yang akan dilangsungkan di Sarawak,” jelasnya lagi.

Dalam pada itu, inisiatif TVS dalam menyiarkan liputan secara langsung BAC 2025 disifatkan sebagai satu usaha terpuji.

Penganalisis dan pengulas sukan negara, Shaukei Kahar yang merupakan antara tenaga utama liputan siaran langsung tersebut berkata, usaha TVS itu merupakan satu inisiatif yang terpuji dan memberi peluang kepada para penonton untuk menyaksikan perlawanan-perlawanan badminton di peringkat tertinggi.

“Kita tahu kejohanan badminton ataupun acara badminton merupakan sukan yang sangat digemari oleh rakyat Malaysia. Sesuatu yang tidak boleh dipisahkan. Kita mempunyai rekod yang cemerlang dalam acara sukan badminton ini.

“Langkah TVS membawa siaran langsung melalui saluran TVS merupakan satu usaha yang sangat terpuji. Dengan kaedah ini, sudah tentu ramai peminat-peminat sukan di negara kita dapat mempunyai pilihan ataupun dapat mengikuti siaran langsung itu secara lebih dekat.

“Justeru, saya menyeru kepada rakyat Malaysia, jangan lepaskan peluang untuk sama-sama bersama TVS untuk ikuti satu kejohanan sukan yang berprestij iaitu Kejohanan Badminton Asia untuk kita mengharapkan agar ada pemain kita yang mampu sampai ke podium kejayaan nanti,” katanya.

Senada dengan Shaukei, legenda badminton negara, Datuk Rashid Sidek turut berpendapat bahawa siaran langsung BAC 2025 yang dibawakan oleh TVS memenuhi rintihan peminat badminton negara yang ingin menonton perlawanan tersebut secara lebih dekat sekali gus menzahirkan sokongan kepada pemain negara.

“Saya rasa ini adalah satu (inisiatif) yang baik yang dilakukan oleh TVS sebab peminat-peminat badminton semua boleh menonton pertandingan badminton ini secara langsung.

“Kadang-kadang mereka tercari-cari di mana mereka hendak menonton. Jadi bila adanya kejohanan-kejohanan yang disiarkan secara langsung seperti ini, bagus untuk mereka dan mereka memang ternanti-nanti untuk tengok kejohanan yang besar ini.

“Kepada peminat-peminat yang hendak menonton kejohanan badminton, terutamanya BAC ini, saksikan di saluran TVS secara langsung,” jelasnya.

BAC 2025 disiarkan secara langsung di saluran 122 serta semua platform media sosial tvs bermula 9 hingga 13 April ini.

Untuk rekod, TVS turut menyiarkan secara langsung Kejohanan Badminton Asia Mixed Team Championship 2025 yang berlangsung di Qingdao, China pada Februari lepas. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan