KUCHING, 9 April: Seorang kelindan lori sampah yang terbabit dalam kemalangan kendiri di Jalan Teluk Bandung, Santubong di sini pada Isnin lepas meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Umum Sarawak, semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching, Superitendan Merbin Lisa berkata kelindan yang berumur 28 tahun itu disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan pada 9.11 malam tadi.
“Ketiga-ketiga merupakan lelaki warganegara tempatan. Lori sampah itu dipercayai dari Kampung Santubong menuju ke arah Jalan Teluk Bandung, Santubong untuk mengutip sampah, dipercayai telah hilang kawalan semasa menuruni bukit sebelum terbabas ke kiri jalan,” katanya dalam kenyataan media pada Rabu.
Kelindan yang disahkan meninggal dunia itu mengalami kecederaan parah dalam kemalangan yang berlaku lebih kurang pada 10.20 pagi.
Dua lagi mangsa yang selamat adalah pemandu lori berumur 35 tahun dan seorang lagi kelindan lori berumur 51 tahun.
“Mangsa dan pemandu telah dihantar oleh ambulans ke Unit Kecemasan Hospital Umum Sarawak.
“Pemandu lori dirawat di zon kuning manakala seorang lagi kelindan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau membahayakan.
Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara selama tempoh tidak kurang daripada lima tahun dan tidak lebih daripada 10 tahun dan denda tidak kurang daripada RM20,000 dan tidak lebih RM50,000. – TVS