KUCHING, 9 April: Jarak perjalanan antara Sri Aman dan Betong akan lebih singkat apabila Jambatan Batang Lupar 2 siap dibina.
Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak Dr Cassidy Morris berkata jarak perjalanan yang kini 71 kilometer akan disingkatkan kepada 28 kilometer, manakala masa perjalanan pula dapat dikurangkan daripada satu jam kepada 30 minit.
Jambatan ini dijangka siap pada suku pertama tahun 2026.
“JKR Sarawak komited dalam memastikan projek ini dilaksanakan dengan cekap dan selamat, demi manfaat jangka panjang kepada rakyat dan pembangunan negeri,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.
Terdahulu, beliau mengadakan lawatan tapak rasmi ke Projek Jambatan Batang Lupar 2, sebuah projek yang bakal menjadi mercu tanda baharu Sarawak.
Menurutnya, dengan ketinggian 145.5 meter bersamaan bangunan 45 tingkat dan panjang 870 meter, jambatan ini bakal menjadi jambatan kabel tertinggi di Malaysia.
“Terletak secara strategik di tengah-tengah bandar Sri Aman dan menghubungkan ke pekan Betong merentasi Sungai Batang Lupar, jambatan ini akan menjadi penghubung penting antara Jalan Pesisir dan Lebuhraya Pan Borneo,” jelasnya.
Jambatan ini akan mempercepat dan mempermudah pergerakan rakyat serta memperkukuh jaringan pengangkutan di zon tengah Sarawak.
Dalam sesi taklimat semasa lawatan tersebut, Cassidy turut diberi penerangan tentang jajaran jalan sepanjang 21 kilometer yang turut melibatkan 3.2 kilometer jalan ke bandar Sri Aman dan 3.8 kilometer jalan ke pekan Betong sebagai sebahagian daripada laluan Jalan Utama Kedua.