KOTA SAMARAHAN , 9 April: Universiti Teknologi MARA Cawangan Sarawak (UiTMCS) komited melaksanakan pelbagai inisiatif kebajikan termasuk penyediaan bantuan makanan dan program pendidikan bersifat inklusif khususnya untuk meringankan beban pelajar dalam kumpulan B40.
Rektor UiTM Cawangan Sarawak, Professor Dr. Firdaus Abdullah mendedahkan sebahagian besar pelajarnya terdiri daripada keluarga B40 yang memerlukan sokongan untuk meneruskan pengajian.
“UiTMCS telah memperkenalkan inisiatif seperti foodbank dan Dapur HEP (Hal Ehwal Pelajar) yang bertujuan membantu pelajar mendapatkan keperluan makanan asas sepanjang tempoh pengajian mereka di kampus.
“Inisiatif ini diharap dapat menggalakkan pelajar untuk lebih fokus dalam pembelajaran tanpa dibebani isu kos sara hidup harian,” beliau berkata demikian dalam ucapannya sewaktu Majlis Aidilfitri Perdana 2025 UiTMCS di Dewan Jubli, UiTM Cawangan Sarawak, Kota Samarahan.
Dalam masa yang sama, UiTMCS turut mengumumkan satu peluang pendidikan baharu yang dikenali sebagai Program Plus Tahfiz, khusus untuk pelajar lepasan pusat tahfiz yang ingin melanjutkan pengajian dalam bidang profesional seperti sains, teknologi, pengurusan dan perniagaan.
“Program ini, bertujuan memberi peluang untuk membantu para pelajar yang telah bergelar Huffaz Al-Quran bagi melestarikan budaya Al-Quran sepanjang tempoh pengajian di sini,” tambahnya.
Untuk rekod, UiTMCS mempunyai seramai 29 orang pelajar Plus Tahfiz yang sedang mengikuti pengajian dalam pelbagai bidang Diploma.
Daripada jumlah tersebut, seramai 9 orang pelajar Plus Tahfiz sudah berjaya menghafaz 30 juzuk Al-Quran, manakala bakinya sudah menghafaz di antara 20-29 juzuk. – TVS