KUCHING, 9 April: Acara sukan antara salah satu inti pati program untuk para pengamal media sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 di Sarawak.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol berkata beberapa program yang dilaksanakan sebelum ini akan diteruskan termasuk akan menambah beberapa acara lain semasa Hawana atau Persidangan Media Sarawak (SMEC) 2025.
Menurutnya, pihaknya sedang berusaha mendapatkan kerjasama daripada universiti yang menawarkan kursus komunikasi untuk dibawa bersama dalam penganjuran acara ini bagi perkongsian informasi baharu untuk semua yang terlibat.
“Pada masa yang sama kami ingin bekerjasama dengan universiti yang menawarkan kursus media massa kami ingin merancang sesuatu untuk bakal-bakal wartawan bakal-bakal orang terlibat dalam media beberapa program untuk mereka semasa Hawana atau Smec kita nak bawa mereka.
“Sekarang mereka kami dapati bahawa ada kursus media massa di universiti berlainan formatnya mereka telah diperkenalkan dengan teknologi terkini dimana siapa yang graduan daripada kursus ini dulu tidak terlibat banyak dalam hal itu jadi ini adalah jenis perkara yang kita akan buat pada Hawana dan Smec nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media semasa program UKAS Berambeh Raya 2025 di English Tea House Kuching pada Rabu.
Tambahnya, bagi penganjuran sukan media sempena Hawana pada kali ini pihaknya akan mencari masa yang sesuai untuk mengumpulkan para media agar dapat bersama-sama terlibat dalam acara itu.
Ujarnya lagi kerjasama bersama Persatuan Wartawan di bahagian Kucing, Sibu dan Miri amat penting dalam menentukan acara sukan dan kondisi yang terbaik untuk penganjuran aktiviti ini.
“Tidak semua akan dapat terlibat tetapi kita akan mencari masa yang sesuai dimana semua dapat bersama mengadakan acara sukan dan tidak semua acara sukan yang sama mungkin badminton di Kuching mungkin di sibu minta permainan lain.
“Tidak semestinya serentak itu terserah dan kita akan berkerjasama dengan persatuan wartawan di semua bahagian dan biar mereka berbincang untuk menentukan acara sukan dan kondisi yang terbaik untuk mereka dan ini mungkin acara untuk satu hari saja,” jelasnya. -TVS