KUCHING, 9 April: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian meminta semua pihak untuk menyemak dan mengesahkan sesuatu maklumat terlebih dahulu sebelum menyebarkannya meskipun mempunyai niat baik untuk membantu orang lain.
Dr Sim yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan meluahkan rasa simpati kepada doktor dan jururawat yang terpaksa berhadapan dengan satu dakwaan yang memaklumkan tiada pakar kardiologi di Pusat Jantung Sarawak sepanjang sambutan Hari Raya Aidilfitri yang menyebabkan pesakit terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan rawatan.
“Anda perlu sedar bahawa kita memang mahu berjuang untuk rakyat, namun adalah sangat penting untuk kita menyampaikan yang benar.
“Ini bermakna anda perlu ada tanggungjawab untuk mengesahkan maklumat tersebut,” katanya selepas menyempurnakan sidang media Pelan Induk Kesihatan Awam 2050 di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Dr Sim turut meluahkan rasa bangga dengan Pusat Jantung Sarawak yang telah berusaha sedaya upaya menjalankan tugas dan amanah dalam sektor kesihatan.
“Tahun lepas, Pusat Jantung Sarawak satu-satunya hospital di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia yang tersenarai dalam 100 hospital kardiologi khusus terbaik di Asia Pasifik.
“Mereka memang mempunyai reputasi dan pada tahun sebelumnya juga mereka berada dalam senarai tersebut. Kalau benar seperti yang didakwa iaitu 20 jam tanpa doktor, bagaimana mereka boleh tersenarai sebagai 100 terbaik?
“Pernah dengar doktor dapat sebarang darjah kebesaran? Jadi, sekurang-kurangnya jangan dera mereka,” katanya. – TVS