KUCHING, 8 April: Seorang suspek lelaki yang mempunyai lima rekod jenayah lampau diberkas dipercayai terlibat dalam kes samun dan curi motosikal sebuah kedai runcit 24 jam di Muara Tebas di sini, pada 30 Mac lalu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching, Superintendan Merbin Lisa berkata, pihak polis telah menerima laporan berkaitan kejadian kes samun berkawan tanpa senjata api daripada pengadu seorang lelaki tempatan berusia 47 tahun pada 6 April.
Menurutnya, dalam kejadian jam 8.30 malam itu, semasa mangsa seorang wanita berusia 27 tahun pembantu kedai menjaga kaunter di kedai runcit 24 jam di Muara Tebas telah didatangi oleh tiga suspek lelaki yang membawa senjata tajam.
“Salah seorang suspek telah mengacukan senjata ke arah mangsa dan bertindak mengambil duit di kaunter sebanyak RM2,950.
“Bertindak atas maklumat, jam lebih kurang 4 petang semalam, sepasukan polis dari Balai Gita telah berjaya menahan seorang lelaki tempatan berumur 21 tahun iaitu suspek di dalam kes ini dan turut merampas sebuah motosikal curi yang masih dilaporkan hilang (Seksyen 379a Kanun Keseksaan ) di daerah Kota Samarahan yang digunakan oleh suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, tangkapan dilakukan di kawasan Demak Laut, Jalan Bako, hasil soal siasat awal ke atas suspek mengaku terlibat dalam kes ini.
“Ujian saringan awal suspek didapati positif dadah, suspek ditahan reman selama enam hari sehingga 14 April 2025, soal siasat lanjut akan dijalankan untuk mengenal pasti rakan sejenayah yang masih bebas dan penglibatan suspek dalam kes lain.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan,” tegasnya.-TVS