BINTULU, 8 April: Insiden kebakaran membabitkan 17 rumah setinggan di Sungai Plan, Jalan Tanjung Kidurong pada Isnin menjadi keperluan mendesak terhadap perancangan jangka panjang penempatan semula komuniti berisiko.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samalaju, Dato Majang Renggi berkata, isu penempatan semula mangsa kebakaran perlu dipertimbangkan secara serius oleh pihak berwajib memandangkan kawasan yang terbakar merupakan penempatan padat yang mudah terdedah kepada risiko kebakaran.
“Untuk perancangan penempatan baru, saya serahkan perkara ini kepada pihak yang berkaitan,” katanya ketika ditemui selepas meninjau lokasi kebakaran di sini, hari ini.
Menurutnya, pihak Pejabat Daerah telah memaklumkan bahawa ramai mangsa kebakaran memilih untuk menumpang sementara di rumah ahli keluarga terdekat.
“Saya turut dimaklumkan oleh Pejabat Pegawai Daerah, di mana mereka ada bertanya dengan mangsa-mangsa kebakaran berkenaan dengan cara-cara pemindahan… dan mereka berkata setakat semalam, ramai yang tinggal sementara di rumah-rumah saudara mara mereka,” ujarnya.
Tambahnya, bantuan awal telah disalurkan kepada mangsa oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat dan gereja Methodist sejak Isnin, manakala syarikat seperti PETRONAS turut menyumbang bantuan dari segi makanan dan keperluan lain.
“Pada pagi ini, pihak PETRONAS juga turut datang menghulurkan bantuan dari segi makanan, dan barang-barang yang lain. Begitu juga dengan mereka dari Jabatan Kebajikan yang turut menghantar bantuan sekali lagi pagi ini dari segi tilam, pakaian,” tambahnya.
Kejadian itu yang meragut nyawa seorang wanita warga emas, Nuie Ipang, 77 tahun, ditemui rentung manakala 17 rumah setinggan musnah dalam kebakaran yang mengorbankan tempat tinggal 93 orang. Punca kebakaran masih dalam siasatan pihak berkuasa.-TVS