PUTRAJAYA, 8 April: Kementerian Kesihatan (KKM) dijangka membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Penjagaan Pra-Hospital di Parlimen selewat-lewatnya awal tahun depan, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Beliau berkata proses penggubalan tersebut sedang dilakukan, termasuk cadangan elemen Good Samaritan Law bagi melindungi orang awam yang memberi bantuan dalam kecemasan daripada implikasi undang-undang.
“Perkara ini saya (advokasikan) daripada penggal pertama lagi dan kini kami sedang melihat kepadanya.
“Bahagian Perkembangan Perubatan KKM dan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) (melihat) bagaimana kami boleh menggalakkan orang awam yang mempunyai kemahiran yang diperakui, untuk berani ke hadapan untuk membuat intervensi menyelamatkan nyawa pada waktu kritikal,” katanya.
Dzulkefly berkata demikian kepada media selepas majlis penyerahan 210 unit AED sumbangan 99 Speedmart Sdn Bhd, di sini hari ini.
Beliau berkata perkara itu adalah antara komitmennya kepada rakyat Malaysia untuk menggalakkan orang ramai untuk membantu dalam situasi kecemasan tanpa takut disaman atau diambil tindakan.
“Ini komitmen yang saya mahukan dan kementerian mahu lakukan. Kami berharap rang undang-undang ini akan dibentangkan, mungkin pada hujung tahun atau awal tahun hadapan,” katanya.
Sementara itu, Dzulkefly berkata KKM menggalakkan pemasangan AED di kawasan awam sebagai sebahagian daripada usaha kesiapsiagaan komuniti, serta memastikan kemudahan itu dapat diakses dengan mudah apabila berlaku kecemasan.
“Kajian menunjukkan bahawa AED dalam tempoh tiga hingga lima minit selepas serangan jantung boleh meningkatkan kadar kelangsungan hidup sehingga 50 hingga 70 peratus.
Beliau berkata teknik bantuan asas hayat atau Resusitasi kardiopulmonari (CPR) dan penggunaan AED tidak harus menjadi pengetahuan eksklusif kepada petugas kesihatan.
“la harus menjadi kemahiran asas masyarakat. KKM menyeru agar lebih ramai rakyat tampil mengikuti latihan CPR dan AED, yang kini ditawarkan secara meluas oleh Bulan Sabit Merah Malaysia dan St John Ambulance Malaysia,” katanya.
Daripada jumlah 210 AED, sebanyak 170 unit akan diagihkan ke hospital dan klinik kesihatan terpilih di seluruh negara, manakala 40 unit lagi akan diserahkan kepada 17 kementerian dan agensi kerajaan di sekitar Putrajaya. – TVS