KUCHING, 8 April: Kerja naik taraf bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang lama kepada sebuah Pusat Seni Persembahan bertaraf antarabangsa merupakan pelaburan penting oleh kerajaan negeri dalam usaha mencungkil bakat anak Sarawak.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata ia merupakan platform bagi anak Sarawak yang mempunyai bakat untuk mengetengahkan kreativiti mereka.
“Kita akan mula membangunkan bangunan pejabat baharu TVS yang berdekatan dengan Baitulmakmur, sudah tentu ia berdekatan dengan projek Pusat Seni Persembahan.
“Kita juga boleh mempunyai konsert di pusat itu dan ini bermakna infrastruktur penyiaran dan persembahan kita akan mempunyai tempat yang lebih canggih kerana ia adalah berdasarkan kepada Pusat Seni Persembahan bertaraf antarabangsa,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri TVS 2025 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.
Jelasnya lagi ia merupakan pelaburan yang berbaloi kerana akan menyatukan masyarakat berbilang kaum, berbeza pegangan agama tetapi hidup sebagai sebuah keluarga yang besar.
Pusat itu juga akan mempamerkan budaya Sarawak bukan hanya di negara ini tetapi juga di persada dunia.
Tambahnya lagi usaha itu akan diperkukuhkan lagi dengan jaringan perhubungan udara antara Sarawak dengan lokasi lain melalui pemilikan syarikat penerbangan sendiri iaitu AirBorneo.
“Dengan adanya syarikat ini dan kemudahan penyiaran, ia boleh berganding bahu dan bolehlah kita buat penyelidikan untuk pergi ke luar negara dan membuat laporan sebagai sebahagian daripada pengukuhan pengetahuan.
“Kita perlu tingkatkan pengetahuan dan bandingkan kita sendiri dengan negara lain. Dengan melihat kemajuan orang lain, ia akan menjadi penanda aras dan standard kita pasti meningkat,” ujarnya. – TVS