SARIKEI, 8 April: Polis Daerah Sarikei berjaya menyelesaikan dua kes jenayah iaitu pecah rumah dan curi kenderaan hasil daripada tangkapan dua lelaki dalam satu operasi yang dijalankan baru-baru ini.
Menurut Ketua Polis Daerah Sarikei, Superintenden Aswandy Anis, kedua-dua suspek yang berusia 37 dan 46 tahun itu ditahan dalam satu operasi yang dijalankan di Sarikei dan Bintangor pada 3 dan 7 April.
Dalam serbuan tersebut katanya, pihak polis turut merampas beberapa barangan dipercayai hasil daripada kegiatan jenayah termasuk peralatan pecah rumah serta kenderaan yang dicuri.
“Antaranya, satu unit oven elektrik, cordless drill tiada jenama warna hijau dan hitam, kotak alat bertukang mengandungi satu tukul besi, kereta yang tidak mempunyai nombor pendaftaran, satu laras senapang patah, tiga biji peluru dan sebuah motosikal,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, siasatan awal polis mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau.
Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan bagi kes pecah rumah dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan bagi kes curi kenderaan.
“Pihak polis mengucapkan terima kasih kepada orang awam atas maklumat yang disalurkan dan menasihatkan masyarakat supaya terus bekerjasama bagi membanteras jenayah di kawasan ini,” ujar beliau sambil menambah kedua-dua suspek kini direman bagi membantu siasatan lanjut.
Sehubungan itu, polis amat menghargai kerjasama orang awam khasnya penduduk Sarikei. Sebarang maklumat boleh disalurkan terus ke nombor talian Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sarikei 084-652222. – TVS