NIBONG TEBAL, 8 April: Polis sedang melengkapkan kertas siasatan berhubung klip video tular kejadian buli didakwa membabitkan sekumpulan pelajar di sebuah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di sini sebelum dirujuk kepada pendakwa raya.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPT) Superintendan Jay January Siowou berkata, pihaknya memberi jaminan siasatan kes itu akan dijalankan secara holistik dengan mengambil kira kesemua aspek.
Menurutnya, polis telah mengambil tindakan proaktif dengan mengesan institusi terbabit dan kesemua individu yang terlibat untuk mendapatkan keterangan.
“Kes akan dirujuk kepada pendakwa raya setelah siasatan selesai dan orang awam dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, media melaporkan polis telah mengenal pasti tujuh pelajar berusia 15 tahun yang terlibat termasuk mangsa.
Siasatan polis mendapati, insiden buli berkenaan berlaku pada tahun lalu serta punca kejadian dikatakan kerana mereka bergurau dan ejek-mengejek sesama sendiri.
Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki turut memaklumkan, pihaknya telah menggantung pelajar yang dikesan terlibat bagi membolehkan siasatan lanjut.
Katanya, MARA tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap insiden buli di institusi berkenaan.
Berdasarkan video tular berdurasi seminit 31 saat itu, dua remaja lelaki dilihat menindih seorang remaja di atas katil dengan salah seorang daripada mereka turut dilihat memukul badan mangsa menggunakan objek disyaki tali pinggang. – TVS